Sokongan Pas belum jamin kemenangan BN

Sokongan Pas belum jamin kemenangan BN

SOKONGAN terbuka diberikan Pas belum menjamin kemenangan mudah kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ketika ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sokongan terbuka diberikan Pas belum menjamin kemenangan mudah kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ketika ini.

Ini kerana berdasarkan beberapa siri pilihan raya sebelum ini, peratusan jumlah keluar mengundi boleh menjadi penentu kemenangan parti yang bertanding.

Penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Mazlan Ali berkata, walaupun sokongan Pas mampu memberi kelebihan kepada BN dalam meraih undi Melayu namun ia belum cukup untuk menentukan kemenangan sekiranya kadar keluar mengundi memihak kepada Pakatan Harapan (PH).

Katanya, di kerusi dua penjuru, pendirian Pas yang secara terbuka menyatakan tidak akan membantu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka menyebabkan sebahagian undi penyokong parti itu beralih kepada BN.

“Walaupun terdapat calon Bersatu di beberapa kerusi, Pas telah menyatakan tidak akan membantu parti itu. Jadi, undi Melayu yang sebelum ini menyokong Pas berpotensi beralih kepada BN.

“Namun, situasi itu masih bergantung kepada kadar keluar mengundi kerana itulah faktor yang akhirnya menentukan keputusan pilihan raya.

“Jika kadar keluar mengundi melebihi 75 peratus, PH berpotensi memperoleh lebih banyak kerusi berbanding BN,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Katanya, jika kadar keluar mengundi berada di bawah 60 peratus, BN mempunyai peluang lebih cerah memenangi lebih banyak kerusi berbanding PH.

“Jika kadar keluar mengundi antara 75 hingga 80 peratus, PH berkemungkinan memenangi lebih banyak kerusi namun jumlah kerusi dijangka masih seimbang dengan BN,” katanya.

Mazlan berkata, penyertaan parti-parti kecil pula tidak dijangka mengubah landskap pertandingan kerana mereka bertanding atas gabungan masing-masing dan tidak menunjukkan kecenderungan menyokong mana-mana blok utama.

Mengulas implikasi lebih besar, beliau berkata, keputusan PRN Johor akan menjadi penentu terhadap hala tuju politik BN menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

“Jika BN menang besar di Johor, tidak mustahil gabungan itu akan lebih yakin untuk bergerak secara solo di peringkat nasional.

“Namun, jika kemenangan itu banyak dipengaruhi oleh sokongan Pas, BN mungkin melihat semula Pas sebagai rakan yang sesuai pada pilihan raya akan datang.

“Ketika ini terdapat pelbagai pandangan dalam BN, sama ada mahu meneruskan kerjasama dengan PH, bekerjasama dengan Pas atau bertanding secara solo.

“Sebab itu keputusan PRN Johor kali ini akan menjadi petunjuk penting kepada hala tuju politik BN selepas ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN