Sistem pemprofilan bantu banteras pemandu, syarikat kenderaan perdagangan terlibat dadah  - Utusan Malaysia

Sistem pemprofilan bantu banteras pemandu, syarikat kenderaan perdagangan terlibat dadah 

MUHAMMED HASBULLAH ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Satu sistem pemprofilan membabitkan  individu, syarikat dan kenderaan perdagangan sedang dibangunkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman bagi menangani isu pemandu di bawah pengaruh dadah atau alkohol.

Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, langkah itu antara usaha bagi memastikan pemantauan terhadap pemandu serta syarikat pengangkutan dapat dibuat secara lebih menyeluruh.

“Cadangan itu juga susulan trend pemandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol yang semakin meningkat berdasarkan pemantauan polis beberapa tahun kebelakangan ini.

“Kita sedang susun dalam sistem, kita akan buat profiling individu, profiling syarikat dan profiling kenderaan. Kita akan cadangkan perkara ini kepada pihak kerajaan,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.

Muhammed Hasbullah berkata, tindakan ketika ini hanya dikenakan terhadap individu yang melakukan kesalahan, termasuk pemandu kenderaan perdagangan yang memandu di bawah pengaruh dadah atau alkohol berdasarkan undang-undang dikuatkuasakan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, pihaknya sedang meneliti cadangan supaya tindakan diperluaskan kepada syarikat atau pihak yang melantik pemandu berkenaan.

“Kita sekarang sedang berbincang untuk memperluaskan lagi supaya sesiapa saja yang melantik pemandu atau syarikat yang menggaji pemandu itu perlu bertanggungjawab penuh.

“Bukan setakat pemandu kita ambil tindakan, malah syarikat pun nanti kita akan cadangkan perkara ini kerana ia sudah menjadi terlalu serius,”jelasnya.

Beliau berkata, JSPT turut akan bekerjasama dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dalam usaha memperluaskan tindakan terhadap syarikat atau pengendali kenderaan perdagangan.

“Kita juga akan libatkan APAD kerana ia adalah agensi yang bertanggungjawab dan hukuman mereka lebih tinggi. Kita akan libatkan sekali APAD,” katanya.

Muhammed Hasbullah berkata, JSPT turut berbincang dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memantapkan semula sistem merit demerit.

Katanya, cadangan itu termasuk tindakan membatalkan lesen perdagangan dan lesen peribadi pemandu yang melakukan kesalahan.

Beliau berkata, PDRM turut meneliti cadangan memperketat undang undang serta meningkatkan hukuman terhadap kesalahan memandu di bawah pengaruh dadah atau alkohol.

Katanya, penelitian itu dibuat dengan mengambil kira contoh beberapa negara termasuk Taiwan dan Singapura yang menyemak semula hukuman berkaitan kesalahan berkenaan.

“Kita ada buat perbincangan dengan pucuk pimpinan PDRM, malah kita bawa juga ke peringkat lebih tinggi.

“Kita juga berbincang dengan JPJ untuk memantapkan sistem merit demerit semula supaya dapat memberi impak kepada pesalah,” jelasnya.

Mengulas trend semasa, Muhammed Hasbullah berkata polis mendapati kes pemandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol semakin meningkat.

Katanya, perkembangan itu menyebabkan JSPT mempergiatkan operasi bersepadu terhadap pemandu kenderaan perdagangan, selain mengarahkan semua kontinjen menjalankan operasi mabuk dan dadah setiap malam minggu.

“Lagi banyak kita tangkap, lagi banyak perkara ini berlaku. Jadi kita sedang berbincang dengan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) mengenai strategi yang perlu digunakan untuk mempertingkatkan lagi operasi,” katanya.

Dalam operasi bersepadu antara April hingga Jun lalu, seramai 135 individu ditahan selepas positif dadah, termasuk 121 pemandu lori. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN