KUALA LUMPUR: Pelakon, Nas-T, mendedahkan drama bersiri Keluang Man (Keluang Man The Series) bakal tampil dengan pendekatan lebih gelap selain mengetengahkan sisi emosi yang lebih mendalam menerusi watak utama, Borhan.
Nas-T atau Nas Muammar Zar Nasruddin, 42, berkata, siri yang mengandungi tujuh episod itu akan memperkenalkan lebih dalam kisah adiwira tempatan dengan identiti tersendiri, berbeza daripada mana-mana naskhah yang pernah dihasilkan sebelum ini.
Menurutnya, jalan cerita siri tersebut merupakan sekuel kepada filem Keluang Man yang berlaku dua tahun selepas peristiwa dalam filem berkenaan.
“Borhan merasakan dirinya membawa sumpahan. Sesiapa yang dia sayang atau ambil berat akhirnya menemui ajal.
“Disebabkan itu, dia menyalahkan diri sendiri, mengasingkan diri daripada masyarakat dan menghukum dirinya. Dalam masa sama, dia perlu belajar mengatasi trauma itu sambil berdepan kuasa hitam yang mengancamnya.
“Untuk siri kali ini, kami tidak menampilkan elemen komedi. Nadanya lebih gelap dan berpijak di bumi nyata. Kami juga tidak merujuk kepada mana-mana karya lain kerana mahu menghasilkan sesuatu yang asli serta benar-benar bercirikan Malaysia.
“Dulu mungkin kita memasak mengikut selera penonton, tetapi kali ini kita menjadi cef. Kita masak dan penonton menikmati hasilnya. Saya percaya mereka akan lebih tertarik dengan versi yang lebih gelap ini,” katanya.
Nas-T berkata demikian ketika ditemui pada sesi bersama media di lokasi penggambaran Keluang Man The Series, di sini, baru-baru ini.
Bagi menghayati watak Borhan yang bergelut dengan masalah kesihatan mental, Nas-T berkata, dia melakukan pemerhatian terhadap individu yang didiagnosis dengan kemurungan, termasuk ahli keluarganya sendiri.
“Saya banyak membuat rujukan menerusi filem dan juga memerhati orang di sekeliling yang berdepan situasi seperti ini. Individu paling dekat ialah ahli keluarga saya sendiri yang mengalami kemurungan.
“Saya melihat bagaimana sepupu saya lebih gemar menyendiri, berasa paranoid dan merasakan dirinya tidak disayangi. Elemen-elemen itu saya terapkan dalam pembentukan watak Borhan.
“Watak Borhan kali ini mempunyai pelbagai lapisan emosi. Bukan sekadar berdepan gangguan bipolar, tetapi turut bergelut dengan keresahan dan kemurungan yang serius,” katanya.
Dalam pada itu, Nas-T mengakui cabaran terbesar sepanjang penggambaran ialah menyarungkan kostum Keluang Man yang tebal sehingga menjejaskan pernafasannya.
“Sut itu tebal dan padat. Sebaik sahaja dipakai, ia sudah mengganggu pernafasan saya, apatah lagi apabila memakai topeng yang menutup sebahagian besar kawasan pernafasan.
“Dalam keadaan itu, saya masih perlu memberi tumpuan kepada koreografi aksi dan ‘blocking’, selain memastikan pernafasan sentiasa terkawal.
“Kami menjalani penggambaran sekurang-kurangnya 12 jam sehari, malah ada kalanya mencecah 16 jam. Peluh memang menembusi bahagian luar sut.
“Bagaimanapun, pihak produksi menyediakan pelbagai langkah keselamatan termasuk kipas dan ruang khas untuk kami menyejukkan badan serta menjalani proses pemulihan selepas babak aksi,” katanya.
Keluang Man The Series diterajui dua pengarah generasi baharu, Zahir Omar dan Syahmi Norsan.
Zahir sebelum ini pernah memenangi Anugerah Pengarah Harapan Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) menerusi Fly By Night, selain mengarahkan filem Mikael: Pemburu Dua Alam. Syahmi pula merupakan pemenang Grand Prize BMW Shorties 2022 menerusi filem pendek, Fasa.
Siri Keluang Man The Series dijadualkan menemui penonton pada tahun hadapan. -UTUSAN










