MEMILIH destinasi percutian bukan satu perkara yang mudah kerana setiap destinasi menawarkan pengalaman yang berbeza.
Ada yang menggemari kesibukan kota dan ingin menyelami sejarah. Namun, ada juga yang inginkan percutian lebih santai sambil menikmati keindahan alam sekitar.
Antara destinasi popular yang menawarkan dua pengalaman berbeza ialah Shanghai, China dan Sydney, Australia.
Meskipun kedua-duanya merupakan kota metropolitan bertaraf dunia, tarikan, suasana dan rentak percutiannya tidak sama.
Shanghai, kota moden berjiwa klasik
Shanghai adalah destinasi paling sesuai untuk mereka yang gemarkan kesibukan kota, namun masih mahu menyelami sejarah dan warisan lama.
Antara lokasi tumpuan ialah The Bund, kawasan persiaran di sepanjang Sungai Huangpu yang menempatkan deretan bangunan klasik berunsurkan seni bina Barok, Gotik dan neoklasik.
Bagi pencinta sejarah dan warisan, Yu Garden menawarkan suasana yang lebih tenang. Pengunjung boleh menyusuri taman klasik Jiangnan sambil menikmati keindahan kolam, taman batu, jambatan kecil dan astaka tradisional.
Bagi mereka yang suka membeli belah, bolehlah melawat Nanjing Road yang dipenuhi gedung beli-belah, butik antarabangsa dan kedai-kedai tempatan.
Pengunjung juga boleh mencuba hidangan jalanan atau sajian tradisional di sekitar kota lama.
Bagi pelancong Muslim, kawasan Yuyuan dan Laoximen boleh dipertimbangkan sebagai lokasi penginapan kerana berhampiran tarikan utama serta mudah diakses menerusi rangkaian metro.
Selain itu, kedudukannya yang tidak jauh dari Masjid Xiaotaoyuan memudahkan pelancong menunaikan ibadah dan mencari makanan halal.
Sydney, pesona kota tepi laut
Sydney pula menawarkan rentak percutian yang lebih santai dengan gabungan pemandangan pelabuhan, pantai dan alam semula jadi.
Antara mercu tanda yang wajib dikunjungi ialah Sydney Opera House. Bangunan ikonik rekaan arkitek Denmark, Jørn Utzon itu dibuka secara rasmi pada 1973 dan kini menjadi identiti kota Sydney.
Tidak jauh dari situ, Circular Quay menjadi lokasi sesuai untuk bersiar-siar, menaiki feri dan menikmati panorama indah Sydney Harbour.
Bagi pencinta pantai, Bondi Beach sesuai untuk mereka yang ingin berehat sambil menikmati suasana laut yang mendamaikan.
Mereka yang gemar berjalan kaki pula boleh menyusuri laluan pesisir Bondi ke Coogee sambil menikmati pemandangan pantai yang memukau.
Bagi pelancong Muslim, kawasan Haymarket, Central dan Surry Hills wajar dipertimbangkan kerana menawarkan pelbagai pilihan makanan halal serta akses mudah ke tempat ibadah.
Antaranya ialah King Faisal Mosque di Surry Hills yang terletak tidak jauh dari pusat bandar, memudahkan pelancong menunaikan solat sepanjang perjalanan.
Lebih selesa sepanjang penerbangan
Tidak kira sama ada memilih Shanghai atau Sydney, penerbangan terus Batik Air dari Kuala Lumpur memudahkan perjalanan ke kedua-dua destinasi.
Untuk pengalaman lebih selesa, penumpang boleh membuat pratempahan hidangan dalam penerbangan mengikut cita rasa masing-masing.
Antara pilihan yang menjadi kegemaran ialah lamb briyani, selain hidangan ringan seperti bihun goreng dan pelbagai sajian lain yang ditawarkan pada harga lebih berpatutan apabila ditempah lebih awal.
Bagi mengisi masa sepanjang perjalanan, kemudahan hiburan dalam penerbangan tanpa wayar pada perkhidmatan terpilih membolehkan penumpang menikmati pelbagai kandungan menerusi peranti sendiri.
Namun, memandangkan penerbangan ke kedua-dua destinasi boleh mengambil masa lebih lima jam, ramai penumpang mungkin lebih selesa menggunakan tempoh tersebut untuk berehat.
Bagi mereka yang mengutamakan ruang dan keselesaan tambahan, kelas perniagaan boleh dipertimbangkan untuk perjalanan jarak jauh yang lebih santai.
Dua kota, dua pengalaman berbeza

Mereka yang menggemari sejarah, aktiviti membeli-belah dan suasana kota yang bertenaga mungkin lebih tertarik kepada Shanghai.
Sydney pula sesuai untuk pengembara yang mahu menikmati suasana bandar, pantai dan alam semula jadi dalam satu perjalanan.
Jadi, adakah anda lebih tertarik untuk menyelami kota moden berjiwa klasik di Shanghai atau menikmati rentak kehidupan tepi laut di Sydney?
Untuk mengetahui lebih banyak destinasi menarik serta promosi terkini, sila layari laman web www.batikair.com.my, muat turun Aplikasi Batik Air atau imbas kod QR yang disediakan.










