Selatan Thai terus bergolak selagi tiada gencatan senjata- BRN

Selatan Thai terus bergolak selagi tiada gencatan senjata- BRN

KENDERAAN Malaysia yang terkena letupan bom di Tak Bai, Narathiwat, Thailand baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NARATHIWAT (THAILAND): Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) melihat keadaan di Selatan Thai akan terus bergolak selagi tiada sebarang perjanjian gencatan senjata dimeterai dengan kerajaan negara itu dalam proses dialog damai.

Pemimpin kanan BRN yang enggan dikenali mengesahkan dua insiden berdarah di Wilayah Narathiwat minggu lalu yang mengorbankan lima anggota renjer dan mencederakan enam orang awam adalah tindakan yang disifatkannya sebagai ‘operasi biasa’ kerana rundingan damai masih belum menghasilkan sebarang persetujuan rasmi.

Beliau bagaimanapun menegaskan, dasar BRN ialah tidak mengeluarkan kenyataan sama ada mengakui atau menafikan pembabitan dalam setiap serangan yang berlaku.

“Benarkah BRN yang melakukan dua serangan itu? Saya tak kata BRN yang lakukan dan saya tidak kata BRN tidak lakukan. Biarlah masyarakat yang membuat penilaian terhadap kejadian itu.

“Selepas setiap insiden, BRN tidak akan mengeluarkan apa-apa kenyataan sama ada mengakui atau menafikan melakukan tindakan sedemikian,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas gesaan Ketua Panel Dialog Damai Kerajaan Diraja Thailand (PEDP/RTG), Thanat Suwannano supaya BRN menjelaskan mengapa dua serangan berskala besar berlaku ketika kedua-dua pihak sedang merancang rundingan rasmi pada September depan, beliau berkata, sehingga kini tiada sebarang perjanjian yang mengikat kedua-dua pihak.

“Setakat ini belum ada apa-apa perjanjian dan persetujuan antara kerajaan Thailand dengan BRN. Jadi tindakan BRN terhadap pasukan keselamatan tidak dihentikan.

“Tetapi jika kita menandatangani perjanjian dan persetujuan gencatan senjata, maka BRN akan hentikan tindakan seperti itu. Masalah sekarang tiada apa-apa perjanjian atau persetujuan dicapai maka kita teruskan seperti biasa,” katanya.

Menurutnya, BRN juga tidak mempunyai masalah sekiranya kerajaan Thailand menangguhkan dialog damai yang dijadualkan berlangsung pada September depan.

“Dia hendak gantung atau tangguh dialog damai itu terpulang kepada dia. BRN tidak ada masalah. BRN akan terus bergerak seperti biasa,” katanya.

Mengulas pemilihan Narathiwat sebagai lokasi serangan, beliau mendakwa keadaan itu dipengaruhi pendekatan pihak berkuasa di wilayah berkenaan terhadap penduduk selain kekuatan operasi BRN yang kini lebih tertumpu di Narathiwat berbanding Yala dan Pattani. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN