Sekolah perlu perjelas tindakan susulan aduan buli pelajar

Sekolah perlu perjelas tindakan susulan aduan buli pelajar

MORDI BIMOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pihak pengurusan sebuah sekolah di Bau, Sarawak perlu tampil memberi penjelasan berhubung tindakan susulan selepas menerima aduan mengenai gangguan terhadap seorang pelajar perempuan Tingkatan Dua.

Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol berkata, aduan itu difahamkan dibuat kira-kira dua minggu sebelum kejadian buli yang menyebabkan mangsa cedera.

Katanya, perkara itu amat membimbangkan kerana tindakan pencegahan lebih awal sepatutnya diambil bagi mengelakkan perbuatan suspek berlarutan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.

“Pihak pengurusan sekolah perlu memberikan penjelasan dan perhatian serius mengapa tindakan pencegahan yang lebih awal dan berkesan tidak diambil bagi menyekat perbuatan suspek sebelum ia melarat menjadi kecederaan fizikal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, polis sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian buli membabitkan seorang pelajar perempuan Tingkatan Dua di sebuah sekolah di daerah Bau, Sarawak.

Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd. Haide A. Rahman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan awal mendapati insiden berkenaan berlaku kira-kira pukul 10 pagi di dalam sebuah bilik darjah.

Menurut beliau, mangsa dipercayai ditolak dari arah belakang oleh seorang rakan sekelas sehingga terjatuh dan terkena struktur besi pada papan putih.

Mordi yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, beliau memandang serius laporan media mengenai kes buli itu yang kini disiasat polis mengikut Seksyen 507B Kanun Keseksaan.

Katanya, mangsa bukan sahaja mengalami kecederaan fizikal akibat ditolak, malah didakwa berulang kali berdepan gangguan emosi dan fizikal sebelum ini.

“Sangat mendukacitakan apabila mendapat khabar bahawa mangsa bukan sahaja mengalami kecederaan fizikal, malah telah berulang kali berhadapan dengan gangguan emosi dan fizikal seperti ditarik rambut sebelum ini.

“Saya mendoakan agar anak ini segera sembuh sepenuhnya, baik dari segi kecederaan fizikal mahupun kesan trauma psikologi yang dilaluinya,” katanya.

Mordi turut merakamkan penghargaan kepada pihak polis atas tindakan pantas membuka kertas siasatan selepas laporan rasmi diterima.

Katanya, pihaknya meletakkan kepercayaan penuh kepada polis untuk melengkapkan siasatan secara telus demi keadilan kepada mangsa.

“Sekolah sepatutnya menjadi institusi paling selamat untuk pelajar menuntut ilmu dan bukan tempat yang menyebabkan mereka berasa terancam atau takut hadir ke kelas.

“Kita tidak boleh membiarkan mana-mana anak sekolah berasa takut untuk hadir ke kelas atau mendiamkan diri daripada melaporkan salah laku kerana bimbang tindakan balas,” katanya.

Mordi berkata, Pejabat Ahli Parlimen Mas Gading akan terus memantau perkembangan kes itu dan bersedia bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), pihak sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Buli dalam apa jua bentuk, sama ada fizikal, lisan mahupun emosi, tiada tempat di Mas Gading. Jangan kita berkompromi dengan keselamatan anak-anak kita,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN