‘Saya tumpu dapat keadilan, berbanding kempen PRN Johor’

‘Saya tumpu dapat keadilan, berbanding kempen PRN Johor’

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman keluar dari Mahkamah Persekutuan selepas penangguhan keputusan rayuan pendakwaan terhadap pembebasannya di Putrajaya, semalam. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mahu memberi tum­puan kepada usaha mendapatkan keadilan buat dirinya berbanding berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16, pada 11 Julai ini.

“Saya menghormati keputusan yang arif hakim dan institusi kehakiman negara. Sudah enam tahun saya berjuang untuk membersihkan nama, integriti dan maruah saya.

“Jika perlu menunggu dua minggu lagi, saya akur dan patuh,” katanya kepada pemberita di pekarangan Istana Kehakiman di sini semalam.

Syed Saddiq mengulas pertanyaan wartawan sama ada beliau akan turun berkempen pada PRN Johor.

“Disebabkan kita berada di bawah bumbung Istana Kehakiman, tumpuan saya pastinya adalah untuk membersihkan nama, integriti dan maruah diri.

“Jadi, saya perlu tunggu dua minggu lagi. Buat masa ini, saya akan beri fokus bersama peguam dan keluarga untuk mendapatkan keadilan yang kami cari di mahkamah terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui selepas prosiding di Mahkamah Rayuan di sini, semalam.

Syed Saddiq juga enggan mengulas mengenai perancangan perkahwinan dengan pelakon dan penyanyi, Bella Astillah, selagi prosiding mahkamah belum selesai.

Beliau berkata, pendirian itu diambil sebagai menghormati institusi kehakiman selain mahu memberi tumpuan sepenuhnya terhadap prosiding yang berlangsung.

“Saya minta maaf. Saya di sini untuk membicarakan soal perbicaraan di institusi kehakiman. Saya hormati keputusan mahkamah,” katanya.

Sebelum ini, Syed Saddiq pernah dilapor memaklumkan persoalan mengenai perkahwinan dengan Bella boleh diajukan semula pada 30 Jun.

Bagaimanapun, bekas Menteri Belia dan Sukan itu reda apabila keputusan yang sepatutnya diumumkan semalam ditangguhkan kepada 13 Julai selepas seorang daripada tiga hakim, iaitu Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, bercuti sakit dua hari.

Pada 9 November 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Syed Saddiq bersalah atas tuduhan bersubahat de­ngan bekas Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Rafiq Hakim Razali untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana pertubuhan itu berjumlah RM1 juta.

Syed Saddiq juga didapati bersalah atas tuduhan menya­lahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Isla­mic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang berkenaan.

Sementara itu, pelakon dan penyanyi, Bella Astillah berjanji akan terus setia memberikan sokongan kepada tunangnya walaupun keputusan rayuan di Mahkamah Persekutuan ditangguhkan sehingga 13 Julai.

Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 32, berkata, dia menghormati keputusan mahkamah dan menerima penangguhan itu dengan hati terbuka sambil berharap segala-galanya akan berpihak kepada Syed Saddiq.

“Kita menghormati keputusan mahkamah. Ada perkara yang kita tidak boleh jangkakan. Kita doa yang terbaik.

“Semoga dia terus tabah. Insya-Allah, saya akan sentiasa berada di belakangnya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Istana Kehakiman, semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN