PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi, Zizan Razak mengakui pernah menyaksikan kesilapan serta aib yang dilakukan rakan artis, namun memilih untuk menyimpan segala rahsia tersebut tanpa mendedahkannya kepada sesiapa walaupun kepada ibu sendiri.
Zizan atau Mohd Razizan Abdul Razak, 42, berkata, tindakan membuka aib individu lain, lebih-lebih lagi di media sosial demi mengejar populariti atau kepuasan sementara, bukanlah sesuatu yang wajar dilakukan.
“Kita mungkin boleh buka aib orang, tetapi kena ingat, sekali Allah buka aib kita, memang tiada jalan pulang. Saya minta dijauhkan daripada perkara-perkara sebegitu.
“Bagi saya, semuanya berbalik kepada didikan keluarga masing-masing. Secara jujurnya, saya tidak akan menyebarkan aib sesiapa. Walaupun pernah melihat kesalahan rakan atau orang asing di depan mata, saya tidak pernah berniat untuk merakam, berkongsi atau menceritakannya, hatta kepada ibu saya sendiri.
“Sebab apabila kita buka aib orang, tetapi Allah membuka aib kita, memang tiada jalan pulang lagi,” katanya ketika ditemui pada sidang media Astro Fandom, baru-baru ini.
Mengulas kemungkinan kesilapan lampau dirinya dibongkar pihak tidak bertanggungjawab, pelakon filem Polis Evo itu mengakui perkara tersebut berada di luar kawalannya, namun sentiasa berusaha berhati-hati dalam setiap tindakan.
“Sama ada ia mengganggu atau tidak, kadang-kadang kesilapan kita pada masa lalu mahu didedahkan orang. Kita hendak cakap apa? Kita perlu berhati-hati dan menerima hakikat itu.
“Pada saya, kita kena terima sahaja, namun perbuatan membuka aib orang bukanlah satu budaya atau gaya hidup yang positif,” katanya.
Dalam pada itu, Zizan berpendapat lambakan fitnah di media sosial ketika ini seolah-olah menggambarkan ujian akhir zaman, sekali gus mengingatkan pengguna supaya lebih matang dan berhemah dalam mengendalikan setiap hantaran.
“Ini zamannya. Seperti yang tertulis dalam al-Quran, semakin dekat kemunculan Dajjal, semakin banyak fitnah akan bermaharajalela. Sebab itu, kita akan rasa dunia ini semakin sunyi dan mencabar.
“Apabila usia semakin meningkat dan semakin matang, saya lebih banyak berfikir. Kehidupan hari ini penuh dengan cabaran dan dugaan yang perlu ditangani dengan bijaksana. Pilihlah jalan yang terbaik,” katanya.










