KUALA LUMPUR: Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr. Ramli Mohd. Nor memberi amaran kepada Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd. Sany Hamzan kerana mengeluarkan kenyataan menyinggung serta menyakitkan hati wakil rakyat lain ketika Sidang Dewan Rakyat berlangsung.
Ramli berkata, Mohd. Sany boleh dikenakan tindakan di bawah Peraturan Mesyuarat 36 (10) (c) Dewan Rakyat.
“Yang berhormat, Peraturan 36 (10) (c) jelas, sakit menyakitkan hati dalam kalangan ahli Parlimen, saya sudah beri amaran.
“Saya harap jangan buat lagi, kesabaran itu ada had,” katanya hari ini.
Amaran itu dibuat selepas Mohd. Sany mengeluarkan kenyataan bersifat sindiran ketika mengulas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pada awalnya, Mohd. Sany mengucapkan tahniah kepada Perikatan Nasional (PN) dan Pas, serta takziah kepada Barisan Nasional (BN), sebelum segera membetulkan kenyataannya.
“Syabas dan tahniah diucapkan kepada PN dan Pas, takziah kepada BN.
“Eh terbalik, tahniah kepada BN, takziah kepada PN dan Pas,” katanya.
Kenyataan itu mengundang teguran daripada Ramli yang mengingatkan semua ahli Parlimen supaya menjaga adab serta mengelakkan kenyataan yang boleh menyinggung pihak lain sepanjang persidangan. – UTUSAN










