Sabah perlukan pendekatan sesuai perkukuh bekalan elektrik

Sabah perlukan pendekatan sesuai perkukuh bekalan elektrik

ABDUL RAHMAN MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti pendekatan lebih sesuai bagi memperkukuh sistem bekalan elektrik di Sabah berikutan struktur pengurusan bekalan elektrik di negeri itu berbeza daripada Semenanjung Malaysia.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, perbezaan itu menyebabkan pelaksanaan beberapa inisiatif tenaga di bawah kerajaan Persekutuan tidak dapat dilaksanakan secara terus di Sabah.

Katanya, bekalan elektrik di Sabah diuruskan oleh Sabah Electricity justeru kerajaan sedang meneliti beberapa pendekatan termasuk memperkukuh rangkaian grid, meningkatkan kapasiti sistem serta memperluaskan penggunaan teknologi dan mekanisme tenaga yang bersesuaian.

“Elektrik di Sabah ini tidak termasuk sebenarnya dalam pentadbiran kita, jadi sebab itu daripada segi Loji Solar Skala Besar (LSS) di Sabah tidak terlibat.

“Mungkin kita boleh lakukan melalui rantaian-rantaian lain seperti Battery Energy Storage System (BESS) dan penambahan grip, ini bagi mendapatkan penggunaan yang lebih besar. Iitu yang saya nyatakan bahawa antara cabaran-cabaran yang agak berbeza Seperti Sabah.

“Cabaran yang dihadapi Sabah sememangnya berbeza daripada negeri-negeri lain dan kerajaan mengambil kira perkara itu dalam setiap perancangan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran) tentang jaminan kerajaan melalui kementerian ini bahawa pelaksanaan Pelan Strategik Tenaga Baharu akan memastikan agihan bekalan tenaga dibuat secara lebih adil, tidak berat sebelah kepada seluruh rakyat Malaysia termasuk penduduk di Sabah.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, pihak kementerian turut mengadakan beberapa siri rundingan bersama Sabah Electricity bagi mengenal pasti penyelesaian terbaik untuk menaik taraf sistem bekalan elektrik di negeri berkenaan.

Katanya, usaha itu bertujuan memastikan agihan bekalan elektrik kepada rakyat Sabah dapat dipertingkatkan secara lebih adil dan saksama selaras dengan aspirasi kerajaan untuk merapatkan jurang pembangunan infrastruktur tenaga antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

“Saya memahami isu ini kerana pernah berkhidmat di Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan mengikuti sendiri masalah bekalan elektrik yang dihadapi rakyat Sabah.

“Walaupun kini berada di Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, isu bekalan elektrik Sabah terus menjadi antara agenda utama yang dibincangkan bersama Sabah Electricity.

“Insya-Allah, kita akan berusaha sedaya upaya memastikan rakyat Sabah menerima agihan bekalan elektrik yang lebih stabil, berkualiti dan adil pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN