AMPANG JAYA : Niat seorang individu membeli emas dengan harga tawaran membawa padah apabila dia kerugian lebih RM9,000 selepas dipercayai diperdaya sindiket penipuan yang menggunakan taktik pembayaran kepada pihak ketiga.
Kejadian berlaku pada Jumaat lalu ketika mangsa berada di dalam kereta di Jalan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Lotus Ampang.
Menurut sumber, pada awalnya, mangsa menerima mesej WhatsApp daripada seorang individu tidak dikenali yang berminat menjalankan urusan jual beli emas.
“Individu berkenaan pada awalnya mahu menjual tiga keping emas miliknya seberat 30 gram namun selepas berbincang dia tidak mahu menjual emas terbabit sebaliknya menawarkan diri mencari pelanggan untuk mangsa dan meminta komisen,” katanya di sini.
Menurut sumber, mangsa kemudian bersetuju dengan permintaan itu sebelum individu terbabit mmemaklumkan terdapat seorang pelanggan yang mahu menjual gelang emas seberat 20.21 gram.
“Mangsa kemudiannya berjumpa seorang wanita Melayu yang dikatakan pelanggan individu terbabit di Taman Dagang Permai.
“Suspek kemudian meminta mangsa membuat transaksi kepadanya kerana mendakwa mahu membuat bayaran kepada pelanggan berkenaan,” jelasnya..
Sumber berkata, mangsa membuat transaksi secara dalam talian sebanyak RM9,417.86.
Bagaimanapun, mangsa mendapati tiada sebarang transaksi dibuat kepada pelanggan terbabit sehingga individu berkenaan beredar dari lokasi.
“Mangsa menyedari dirinya dipercayai ditipu dan mengalami kerugian berjumlah RM9,417.86,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid ketika dihubungi mengesahkan laporan berhubung kes itu dan siasatan masih dijalankan. – UTUSAN







