Rosmah saman Harith Iskander, dakwa disamakan dengan makhluk seram

Rosmah saman Harith Iskander, dakwa disamakan dengan makhluk seram

ROSMAH MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor memfailkan saman fitnah terhadap pelawak terkenal, Harith Iskander berhubung dakwaan beliau disamakan dengan makhluk seram dalam satu persembahan komedi awal tahun ini.

Saman tersebut difailkan Rosmah pada 9 Jun lalu menerusi firma guaman Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak di Mahkamah Tinggi di sini dan salinan dokumen berkenaan diperoleh media hari ini.

Menurut penyataan tuntutan yang difailkan, pada 17 Januari lalu, Harith atau nama penuhnya Harith Iskander Musa telah telah mengadakan persembahan komediri (stand-up comedy) bertajuk ‘Harith Iskander: The Outspoken Comedy Tour’ di Melaka.

Rosmah mendakwa Harith turut mengeluarkan kenyataan yang secara jelas menggambarkannya sebagai sesuatu yang menakutkan selain menghina dirinya menerusi unsur kecaman fizikal atau body shaming.

Menurut plaintif, tindakan memaparkan gambarnya selepas merujuk kepada makhluk-makhluk mitologi seram itu membawa maksud tersurat atau tersirat bahawa beliau merupakan individu yang menakutkan, hina, hodoh, jahat atau menjijikkan.

Rosmah turut mendakwa perbandingan tersebut merupakan penghinaan terhadap rupa paras, maruah dan reputasinya serta memberi gambaran beliau tidak layak dihormati dan wajar dipandang serong oleh masyarakat.

Persembahan tersebut kemudian diterbitkan semula di Tiktok di akaun dengan nama pengguna Maychan @mayychan0303.

Beliau mendakwa perbandingan plaintif dengan makhluk-makhluk mitologi seram tersebut adalah suatu bentuk penghinaan terhadap rupa paras, maruah dan reputasinya serta membawa maksud bahawa Plaintif adalah seorang individu yang tidak patut dihormati dan wajar dipandang serong oleh masyarakat umum.

Sehubungan itu, Rosmah memohon ganti rugi am, teruk dan teladan yang akan ditentukan oleh Mahkamah berserta faedah lima peratus setahun atas setiap ganti rugi yang ditaksirkan.

Rosmah memohon satu permohonan maaf secara bertulis dan disirkan dalam akhbar arus perdana dan media sosial pilihan plaintif.

Plaintif turut memohon perintah injunksi dan serta akujanji bertulis bagi menghalang defendan, pekerja atau ejennya untuk mengulangi penyataan fitnah tersebut. Turut dimohon ialah kos dan relif-relif yang difikirkan sesuai.
Dalam pada itu, peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff bersama Nur-Diana Ezlyn Hashim yang mewakili Rosmah ketika dihubungi media mengesahkan mengenai kes saman itu dan memaklumkan pengurusan kes telah ditetapkan pada 31 Julai ini.

Peguam Sangeet Kaur Deo mewakili Harith Iskander ketika dihubungi juga mengesahkan perkara sama.

Sementara itu, Harith dalam pernyataan pembelaannya menafikan bahawa kenyataan-kenyataan atau paparan visual yang dibuat pada persembahan itu bersifat fitnah, berniat jahat atau membawa apa-apa maksud fitnah sebagaimana yang dinyatakan oleh Rosmah.

Katanya, beliau tidak pernah mengenali pemilik atau pengguna akaun TikTok @mayychan0303 dan tidak pernah menyebabkan, memberi kuasa, membenarkan, menggalakkan serta memberikan persetujuan untuk penerbitan tersebut.

Jelas Harith, penerbitan-penerbitan TikTok yang mengandungi kenyataan yang dikatakan fitnah itu dibuat tanpa pengetahun atau persetujuannya.

Defendan turut menyatakan bahawa rakaman TikTok itu telah merupakan rakaman yang telah disunting (edited), tidak lengkap dan telah dipetik keluar daripada keseluruhan persembahan komedi tersebut.

Harith menyatakan, persembahannya hendaklah dilihat, dibaca serta difahami secara keseluruhannya dan sebarang rakaman atau petikan yang kemudiannya dimuat naik ke media sosial oleh pihak ketiga merupakan suatu penerbitan yang berasingan dan tidak mewakili keseluruhan atau konteks sebenar persembahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN