KUANTAN: Tempahan makan malam yang dibuat sejak seminggu lalu menjadi pertemuan terakhir buat sebahagian daripada lebih 100 penunggang motosikal termasuk dari Terengganu, sebelum empat daripada mereka terkorban dalam kemalangan di Kilometer 246.4, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah Kemaman, semalam.
Pengurus Operasi Jaman Tory, Rizuan Abdullah berkata, kumpulan dari Terengganu itu tiba di restoran berkenaan kira-kira pukul 9 malam semalam untuk menikmati makan malam sebelum meneruskan perjalanan pulang.
Katanya, majoriti penunggang motosikal yang hadir menggunakan Yamaha RXZ selain beberapa model lain daripada beberapa kelab permotoran.
“Mereka memang sudah membuat tempahan lebih kurang seminggu lebih awal. Malam semalam lebih 100 motosikal berkumpul di restoran kami. Rombongan asalnya dijangka bergerak lebih awal, namun hujan dan beberapa motosikal yang mengalami kerosakan menyebabkan mereka hanya bertolak sekitar pukul 12 tengah malam selepas selesai membuat pembaikan,” katanya ketika ditemui, semalam.
Rizuan berkata, dia hanya mengetahui kejadian menyayat hati itu selepas dimaklumkan oleh kenalan dan ahli kumpulan terbabit menerusi media sosial serta TikTok.
“Kami memang terkejut apabila mendapat berita kemalangan itu. Kumpulan ini bukan orang asing kepada kami kerana mereka kerap datang ke sini dan restoran ini memang menjadi antara lokasi persinggahan mereka setiap kali berkonvoi ke Kuantan,” katanya.
Menurutnya, sepanjang mengenali kumpulan berkenaan, mereka hadir sekadar menikmati makanan dan mengeratkan hubungan sesama ahli kelab yang berkongsi minat terhadap motosikal.
“Saya harap orang ramai tidak terus membuat tanggapan negatif terhadap mereka. Setahu saya mereka datang hanya untuk berkumpul, makan dan berkongsi minat terhadap motosikal. Mereka bukan mencari masalah,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.20 pagi itu, empat penunggang motosikal maut manakala 20 lagi cedera selepas kemalangan membabitkan lebih 30 motosikal di Kilometer 246.4, LPT arah Kemaman.
Sementara itu, jenazah dua penunggang motosikal Yamaha RXZ yang maut dalam nahas di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) berhampiran Jabor, Kuantan, Pahang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Limbong, Paka di sini hari ini.
Jenazah Che Mohd. Sufian Che Ghani, 40, dan Muhammad Hafiz Al Hakim Mazlan, 33, dikebumikan berdekatan di tanah perkuburan tersebut kira-kira pukul 4.30 petang dengan dihadiri 300 ahli keluarga, saudara-mara dan penduduk.
Isteri
Che Mohd. Sufian, Faridah Mat Asri, 39, da isteri, Muhammad Hafiz Al Hakim, Fatin Aqilah Mohd. Nasri, 31, kelihatan sebak sewaktu menyiram air mawar di pusara suami masing-masing.
Mereka merupakan antara empat penunggang motosikal Yahama RXZ yang maut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di jalan berkenaan. – UTUSAN










