KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (LTH) mengesyorkan peruntukan Seksyen 6(2) Akta 535 (Akta Tabung Haji 1995) perlu diberi nafas baharu bagi memastikan hanya individu yang benar-benar layak dan mempunyai kepakaran dilantik menganggotai badan itu.
Menurut laporan RCI, ketika ini Seksyen 6(2) Akta 535 hanya menetapkan seseorang yang dilantik sebagai Ahli Lembaga mestilah seorang Muslim dan warganegara Malaysia.
Bagaimanapun, Suruhanjaya berpandangan syarat tersebut terlalu umum untuk memenuhi keperluan tadbir urus institusi kewangan Islam yang semakin kompleks.
“Suruhanjaya, setelah meneliti Akta 535, mendapati satu-satunya peruntukan yang menetapkan kriteria khusus bagi membolehkan seseorang dilantik menjadi anggota Lembaga diperuntukkan melalui seksyen 6(2) Akta 535 yang menyatakan “Tiada seorang pun boleh dilantik menjadi anggota Lembaga melainkan jika dia seorang Muslim dan warganegara Malaysia.
“Suruhanjaya berpandangan, Akta 535 yang telah berkuat kuasa pada 16 Februari 1995 ini perlu diberi nafas baharu dan penambahbaikan hendaklah dibuat pada peruntukan Seksyen 6(2), bagi menjelaskan lagi kriteria khusus yang perlu ada pada individu-individu yang layak dan boleh dipertimbangkan untuk dilantik sebagai anggota Lembaga. Kriteria sedia ada dalam Seksyen 6(2) Akta 535 pada masa ini adalah terlalu umum dan tidak memadai,” katanya.
RCI turut mengesyorkan kerajaan meneliti beberapa undang-undang sedia ada, termasuk Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991 (Akta 452), AKta Lembaga Hasil Dalam Negeri 1995 (Akta 533) dan Akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia 1993 (Akta 498) sebagai panduan. – UTUSAN










