PETALING JAYA: Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) memperuntukkan dana keseluruhan RM80 juta bagi membantu 220 usahawan Bumiputera menerusi tiga program pembiayaan khusus, Prosper Grow Biz Express, Prosper Grow Fuel Up Dan Prosper Grow Auto Biz.
Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin berkata, inisiatif itu bertujuan membantu usahawan mendapatkan akses kepada modal dengan lebih pantas, mengukuhkan aliran tunai serta meningkatkan kapasiti perniagaan dalam persekitaran operasi yang semakin mencabar.
Katanya, akses kepada modal pada masa yang tepat boleh menentukan sama ada sesebuah perniagaan mampu memanfaatkan peluang pertumbuhan atau terpaksa menangguhkannya.
“Keperluan usahawan hari ini bukan hanya jumlah pembiayaan yang bersesuaian, tetapi juga proses yang cekap dan struktur bayaran yang mengambil kira realiti operasi perniagaan.
“Pendekatan ini membolehkan usahawan bertindak dengan lebih pantas tanpa mengabaikan disiplin kewangan dan kelangsungan jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, program pembiayaan itu diperkenalkan bagi memenuhi keperluan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang memerlukan akses pembiayaan lebih pantas dan fleksibel.
“Ia untuk menangani peningkatan kos operasi, mendapatkan stok, menambah aset serta merebut peluang pertumbuhan dalam pasaran yang semakin kompetitif.
“Menerusi ketiga-tiga program itu, usahawan yang layak boleh menikmati kadar pembiayaan kompetitif bermula serendah 3.5 peratus setahun secara kadar rata bagi produk terpilih.
“Ia selain tempoh penangguhan bayaran prinsipal sehingga enam bulan tertakluk kepada penilaian PUNB,” ujarnya.
Prosper Grow Biz Express menawarkan pembiayaan antara RM100,000 hingga RM300,000 kepada usahawan Bumiputera milikan tunggal, perkongsian dan perkongsian liabiliti terhad dalam sektor peruncitan, perdagangan pengedaran serta pembuatan.
Dana boleh disalurkan seawal 12 hari bekerja, tertakluk kepada penyerahan dokumen lengkap dan penilaian risiko kredit.
Prosper Grow Fuel Up pula menyasarkan pengusaha stesen minyak Bumiputera dengan menawarkan pembiayaan modal pusingan sehingga 100 peratus bagi pembelian stok.
Program itu menyediakan pembiayaan antara RM100,000 hingga RM1 juta dengan tempoh sehingga tujuh tahun bagi membantu memastikan bekalan mencukupi, melancarkan operasi dan mengukuhkan aliran tunai.
Sementara itu, Prosper Grow Auto Biz dikhususkan kepada pusat servis automotif di bawah rakan strategik seperti Petronas AutoExpert.
Program itu menawarkan pembiayaan aset tetap dan modal pusingan antara RM100,000 hingga RM1 juta bagi tempoh sehingga tujuh tahun untuk membantu pengusaha menambah peralatan, meningkatkan kapasiti perkhidmatan serta memenuhi permintaan pelanggan.
Selain pembiayaan, rakan strategik program turut menyediakan latihan, sokongan pemasaran, program dagangan dan khidmat rundingan pembangunan perniagaan bagi meningkatkan daya saing usahawan. –UTUSAN










