KUALA LUMPUR: Pulau Redang yang terkenal sebagai antara pulau tercantik di Malaysia kini berdepan ancaman pencemaran mikroplastik apabila kajian mendapati hampir dua pertiga terumbu karang telah tercemar.
Jurnal Kajian Serantau Dalam Sains Marin oleh lima penyelidik Kumpulan Penyelidikan Mikroplastik (MRIG) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mendedahkan sebanyak 285 zarah mikroplastik dikesan dalam sampel terumbu karang.
Kajian penyelidik terlibat menunjukkan 64 peratus daripada 200 sampel terumbu karang yang dianalisis mengandungi mikroplastik, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kelestarian ekosistem marin di pulau peranginan popular itu.
Penyelidik kajian, Prof. Madya Dr. Sabiqah Tuan Anuar berkata, Long Beach merekodkan tahap pencemaran pantai tertinggi dengan purata 1.31 zarah mikroplastik bagi setiap gram karang diikuti Pasir Akar (0.85 item/g), Kerengga Besar (0.72 item/g), Chagar Hutang (0.54 item/g) dan Mak Simpan (0.47 item/g).
Katanya, dapatan itu memberi isyarat bahawa pencemaran marin di Pulau Redang kini semakin membimbangkan.
“Kajian itu mendapati pencemaran meningkat di kawasan berhampiran pembangunan dan aktiviti manusia, khususnya di kawasan yang menempatkan resort, pusat selam, aktiviti sukan air serta laluan bot pelancong.
“Malah semasa persampelan dijalankan, didapati lebih banyak sampah laut dan plastik yang tersangkut pada terumbu karang di Pantai Long Beach berbanding lokasi lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, Mingguan Malaysia dalam artikel bertajuk ‘Neraka’ Sampah Di Pulau Peranginan mendedahkan pencemaran yang berlaku di Pulau Redang di mana timbunan sampah di beberapa lokasi bukan sahaja mencacatkan pemandangan, malah menjejaskan ekosistem marin.
Sabiqah berkata, penemuan menunjukkan pencemaran plastik bukan sahaja mencemarkan perairan, malah menjejaskan struktur serta kesihatan terumbu karang.
“Kajian itu turut mendapati plastik jenis polietilena tereftalat (PET) yang biasa digunakan untuk menghasilkan botol minuman dan pembungkusan makanan, merupakan mikroplastik yang paling banyak ditemui dalam sampel karang.
“Daripada 140 zarah mikroplastik yang berjaya dikenal pasti jenis polimernya, PET paling banyak dikesan di semua lima lokasi persampelan, mengatasi jenis plastik lain seperti polivinil klorida (PVC) dan poliakrilonitril (PAN).
“Gentian plastik berwarna hitam dan lutsinar merupakan bentuk mikroplastik paling dominan, dipercayai berpunca daripada aktiviti pelancongan, peralatan perikanan serta sisa plastik sekali guna,” katanya.
Sabiqah berkata, isu sisa marin bukan sekadar masalah plastik semata-mata kerana bahan yang dibuang ke alam sekitar itu tidak hilang begitu sahaja.
“Pendedahan kepada cahaya matahari, ombak dan proses luluhawa akan memecahkannya menjadi serpihan yang semakin kecil sebelum sebahagiannya mendap dalam pasir dan sedimen atau berinteraksi dengan hidupan marin.
“Keadaan itu membolehkan mikroplastik berinteraksi dengan bahan lain dalam air serta berpotensi menjerap pencemar bersama seperti bahan pencemar organik persisten, hidrokarbon, logam dan penghasilan biofilem,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Teknologi Kejuruteraan Kelautan UMT, Prof. Madya Dr. Mohd Sofiyan Sulaiman berkata, status kualiti air laut Pulau Redang yang diklasifikasikan pada tahap cemerlang menerusi laporan rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS) tidak semestinya menggambarkan keadaan sebenar pencemaran yang berlaku di lapangan.
Katanya, bacaan JAS diperoleh berdasarkan pensampelan di kawasan laut terbuka dan bukannya berhampiran pesisir pantai yang lebih terdedah kepada aktiviti pelancongan, pelepasan kumbahan, longgokan sampah serta pencemaran marin yang lain.
Menurutnya, faktor semula jadi seperti pasang surut, ombak dan proses pencairan turut mempengaruhi keputusan ujian kerana bahan pencemar boleh tersebar dengan cepat dan menyebabkan bacaan kualiti air kelihatan lebih baik berbanding keadaan sebenar di lokasi tertentu.
“Maksudnya air laut yang dikategorikan sebagai bersih tidak bermakna ia bebas daripada pencemaran kerana parameter yang digunakan ketika ini masih terhad,” katanya.
Jelasnya, indeks kualiti air marin sedia ada hanya mengambil kira enam parameter utama dan tidak memasukkan pencemar baharu seperti mikroplastik serta nano plastik yang kini diiktiraf sebagai ancaman kepada ekosistem marin.
“Kita tidak boleh melihat kepada bacaan itu sahaja, tetapi juga perlu menilai kesihatan ekosistem seperti keadaan terumbu karang, kehadiran mikroplastik, sisa marin dan bahan pencemar lain yang ketika ini belum menjadi sebahagian daripada parameter rasmi,” katanya.
Tambah beliau, kajian yang menggunakan terumbu karang sebagai penunjuk yang menerima tekanan aktiviti pelancongan memperlihat kesan pencemaran lebih ketara berbanding kawasan yang kurang menerima gangguan manusia.
“Justeru, keadaan terumbu karang mampu memberikan gambaran lebih tepat mengenai tahap kesihatan ekosistem berbanding bergantung kepada bacaan kualiti air semata-mata,” katanya.-UTUSAN










