PETALING JAYA: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi secara terbuka menyatakan sokongan kepada calon Pakatan Harapan (PH), Mohamad Yazid Bakri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menerusi poster kempen yang dimuat naik di Facebook, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu berkata, beliau membuat pilihan berdasarkan peribadi calon dan bukan lagi atas faktor parti.
“Sekarang saya tidak berparti. Saya pilih calon kerana peribadi calon. Justeru saya pilih saudara Mohamad Yazid kerana beliau merupakan anak jati Rengit, menetap di kawasan berkenaan, memiliki rumah di Rengit serta merupakan pengerusi sebuah surau di Rengit,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Poster berkenaan turut memaparkan slogan ‘Orang Rengit Jaga Rengit’ selain nombor calon dan lambang PH sebagai tanda sokongan kepada Mohamad Yazid.
Mohd. Puad yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor mengumumkan keluar daripada UMNO berkuat kuasa serta-merta pada 25 Jun lalu.
Susulan itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa Mohd. Puad pernah mengugut untuk keluar parti serta mengkritiknya secara terbuka sekiranya anaknya tidak dicalonkan bagi kerusi DUN Rengit.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, Mohd. Puad memenangi kerusi DUN Rengit dengan majoriti 1,920 undi selepas memperoleh 7,903 undi, sekali gus menewaskan calon daripada Perikatan Nasional (PN), PKR dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang). – UTUSAN










