SEPANG: Program Tetamu Raja Salman bagi ibadah umrah terus menjadi platform memperkukuh hubungan antara Malaysia dan Arab Saudi apabila seramai 33 peserta dari pelbagai latar belakang terpilih untuk mengikuti program tajaan kerajaan Arab Saudi tahun ini.
Pegawai kepada Atase Agama Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur, Dr. Fadlan Mohd. Othman berkata, program yang telah lama dilaksanakan di Malaysia dan di peringkat antarabangsa itu ditaja khusus oleh Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, menerusi Kementerian Hal Ehwal Islam Arab Saudi dan Kedutaan Arab Saudi di Malaysia.
“Ini adalah satu platform yang unik untuk peserta dari Malaysia berkolaborasi dengan pelbagai peserta dari negara lain. Kita mengharapkan agar ada kolaborasi lebih erat antara Malaysia dengan Arab Saudi dan program seperti ini memang menguatkan lagi hubungan antara dua negara,” katanya ketika ditemui pemberita di Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini hari ini.
Sebelum ini, Raja Salman meluluskan kedatangan 1,000 jemaah umrah lelaki dan wanita dari seluruh dunia atas perbelanjaan peribadi beliau di bawah Program Tetamu Penjaga Dua Masjid Suci untuk Haji, Umrah dan Lawatan.
Kumpulan pertama di bawah program itu akan dijalankan dalam empat fasa sepanjang tahun 1448 Hijrah turut terdiri daripada 250 orang dari 16 negara Asia termasuk Indonesia, Timor-Leste, Filipina, Malaysia, Kemboja, Thailand, Vietnam, Laos, Singapura, China, Jepun, Korea Selatan, Hong Kong dan Mongolia.
Mengulas lanjut, Fadlan berkata, kesemua 33 peserta Malaysia akan menyertai kira-kira 1,000 peserta dari pelbagai negara sepanjang program tersebut yang turut merangkumi pertemuan dengan Imam Masjidil Haram dan Imam Masjid Nabawi.
Dalam pada itu, beliau berkata, peserta yang dipilih terdiri daripada pelbagai sektor dan jemputan kali ini melibatkan mufti, pensyarah universiti, kakitangan Wisma Putra, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Penjara Malaysia serta pertubuhan kebajikan dan dakwah.
Menurutnya, proses pemilihan tidak melibatkan permohonan terbuka, sebaliknya calon dikenal pasti oleh agensi di bawah Kedutaan Arab Saudi berdasarkan kerjasama dan sumbangan mereka terhadap program-program yang dilaksanakan oleh Arab Saudi di Malaysia.
“Bukan sahaja golongan elit tertentu yang dipilih, malah kakitangan sokongan yang banyak membantu program-program turut layak dicadangkan,” katanya.
Sementara itu, Mufti Sarawak, Datuk Khalidi Ibrahim menyifatkan pemilihannya sebagai peserta Program Tetamu Raja Salman sebagai satu penghormatan besar yang tidak disangka-sangka setelah menerima jemputan itu kira-kira tiga minggu lalu.
“Sebagaimana yang telah diamanahkan oleh pihak penganjur program ini, mereka memohon saya untuk mengetuai delegasi ini dan mereka telah memberi saya garis panduan untuk memimpin dan membimbing.
“Sebenarnya tidak ada urusan yang terlalu banyak untuk mengetuai delegasi ini kerana segala-galanya telah diurus dan diatur oleh pihak Kementerian Arab Saudi,” ujarmya.
Tambahnya lagi, peluang menjadi tetamu Penjaga Dua Masjid Suci itu amat berbeza berbanding pengalaman mengerjakan haji dan umrah sebelum ini serta beliau berharap ia dapat terus mengeratkan hubungan antara Arab Saudi dan Malaysia dalam memperkasakan usaha dakwah.
Seorang lagi peserta program berkenaan, Pensyarah Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Prof. Dr. Faisal Ahmad Shah berkata, program berkenaan mencerminkan keprihatinan Raja Salman dan kerajaan Arab Saudi terhadap umat Islam di seluruh dunia, selain mengeratkan hubungan persahabatan antara Malaysia dan Arab Saudi.
“Alhamdulillah sangat bersyukur, ini kali pertama saya ditawarkan untuk mengikuti program tetamu Diraja Raja Salman untuk mengerjakan umrah bersama isteri. ini satu peluang keemasan kerana bukan semua orang dapat peluang ini,” katanya. – UTUSAN










