Program Nikah Jamaie Syarie bantu ringankan kos perkahwinan - Utusan Malaysia

Program Nikah Jamaie Syarie bantu ringankan kos perkahwinan

ABD Farid Salleh menunjukkan poster program Nikah Jamaie Syarie 2026 yang akan berlangsung pada 26 Disember pada sidang akhbar di Masjid Sultan Idris Shah II di Ipoh hari ini. -UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Program Nikah Jamaie Syarie 2026 anjuran Masjid Sultan Idris Shah II atau Masjid Negeri Perak akan diadakan pada 26 Disember ini di masjid tersebut di Jalan Sultan Iskandar di sini.

Imam Besar masjid, Abd Farid Salleh berkata, penyertaan bagi tahun ini dibuka kepada 30 pasangan sahaja dengan tarikh tutup permohonan pada 31 Ogos ini dan setakat ini 10 pasangan telah mendaftar.

Menurutnya, program yang diperkenalkan sejak 2013 itu membantu pasangan yang berdepan kekangan kewangan sehingga menangguhkan hasrat untuk berkahwin akibat peningkatan kos perkahwinan.

“Melalui program ini, kita mahu meringankan beban pasangan supaya mereka tidak perlu menunggu terlalu lama untuk mengumpul wang sebelum berkahwin.

“Perkahwinan yang dipermudahkan juga dapat mengelakkan tempoh pertunangan yang terlalu lama,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, selain membantu mengurangkan kos, program berkenaan bertujuan menggalakkan masyarakat mengimarahkan masjid dengan menjadikan institusi itu sebagai pusat aktiviti kemasyarakatan sebagaimana fungsinya pada zaman Rasulullah SAW.

Katanya, konsep Nikah Jamaie Syarie yang membawa maksud perkahwinan beramai-ramai mengikut syariat Islam turut menekankan kesederhanaan, perbelanjaan berhemah dan mengelakkan pembaziran dalam penganjuran majlis.

Menurut beliau, penganjuran pertama pada 2013 dilaksanakan secara percuma hasil sumbangan pelbagai pihak, namun mulai tahun berikutnya peserta dikenakan bayaran sebagai tanda komitmen dan persediaan memikul tanggungjawab selepas berumah tangga.

“Bagi tahun ini, yuran penyertaan ditetapkan sebanyak RM4,000 bagi setiap pasangan berbanding RM3,000 sebelum ini, namun jumlah tetamu ditingkatkan daripada 75 kepada 100 orang bagi setiap pasangan,” katanya.

Beliau berkata, pakej yang ditawarkan merangkumi pelamin, katering, jurugambar, album perkahwinan, penginapan hotel pada malam pertama serta makan malam khas bagi pasangan pengantin.

“Program ini juga menitikberatkan pematuhan syariah termasuk aspek pemakaian, pengurusan majlis, penyediaan makanan halal dan penekanan terhadap pelaksanaan ibadah seperti solat berjemaah sepanjang berlangsungnya majlis.

“Perkahwinan bukan diukur melalui kemewahan atau nilai hantaran semata-mata. Yang wajib dalam Islam ialah mas kahwin, manakala hantaran hanyalah satu bentuk pemberian yang tidak sepatutnya membebankan sehingga melambatkan perkahwinan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN