JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) giat membuat persiapan akhir menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 yang akan mencapai detik kemuncak iaitu Hari Pengundian, esok.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, petugas SPR sedang menyusun serta memeriksa pelbagai peralatan dan kelengkapan mengundi di Dewan Jubli Intan, di sini, sebelum dihantar ke 1,140 pusat mengundi yang akan dibuka di seluruh negeri.
Proses penyusunan itu melibatkan peti undi, kertas undi, dakwat pilihan raya serta pelbagai peralatan lain bagi memastikan setiap pusat mengundi menerima kelengkapan yang mencukupi dan berada dalam keadaan sempurna sebelum hari pengundian.
Petugas-petugas SPR dilihat bekerja mengikut prosedur operasi yang ditetapkan, dengan setiap peralatan diperiksa dan disahkan sebelum dimuatkan ke dalam beg kuning sebelum dihantar ke lokasi yang telah ditetapkan.
Langkah itu bertujuan memastikan proses pengundian dapat berlangsung dengan lancar, teratur dan telus.
Persiapan logistik rapi penting bagi memastikan proses pengundian di melibatkan 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Johor lancar. – UTUSAN










