Polis buru lelaki ada 13 rekod jenayah, pandu berbahaya, enggan berhenti pemeriksaan

Polis buru lelaki ada 13 rekod jenayah, pandu berbahaya, enggan berhenti pemeriksaan

TANGKAP layar video tular sebuah kereta sedan cuba melarikan diri selepas dipercayai enggan berhenti ketika diarahkan anggota Trafik Peronda Lebuhraya sebelum memecut dan memandu secara berbahaya. -GAMBAR / TULAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Polis sedang memburu seorang lelaki yang meloloskan diri ke kawasan semak selepas dikejar sejauh kira-kira 17 kilometer dalam kejadian di Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, di sini awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Azmi Ali berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 12.50 tengah malam itu, suspek yang dikenali sebagai M. Sugumaran,30, yang memandu sebuah kereta jenis sedan dipercayai enggan berhenti ketika diarahkan anggota Trafik Peronda Lebuhraya.

“Anggota Trafik Peronda Lebuhraya yang menjalankan rondaan di Kilometer 225 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara mendapati cukai jalan dan perlindungan insurans kenderaan suspek telah tamat tempoh pada 7 Mei lalu sebelum mengarahkannya berhenti untuk pemeriksaan.

“Bagaimanapun, suspek enggan mematuhi arahan sebaliknya terus memecut dan memandu secara berbahaya menyebabkan anggota polis mengejarnya dari Kilometer 225 hingga Kilometer 242 lebuh raya berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Azmi, sepanjang kejadian, suspek turut memandu melawan arus lalu merempuh dua buah kereta sebelum berjaya diberhentikan di lorong kecemasan di Kilometer 242.

“Bagaimanapun, suspek bertindak melarikan diri ke kawasan hutan dan semak berhampiran sejurus kenderaannya berjaya ditahan,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, pemeriksaan ke atas kenderaan suspek menemukan kad pengenalannya.

“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai 13 rekod jenayah, 12 rekod berkaitan narkotik selain masih dikehendaki bagi satu kes di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya.

“Semakan juga mendapati pemilik berdaftar kenderaan itu telah meninggal dunia,” katanya.

Beliau berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan, namun dua buah kereta milik orang awam mengalami kerosakan selepas dirempuh suspek.

Katanya, polis telah menggerakkan sepasukan pegawai dan anggota bagi mengesan serta menahan suspek yang masih melarikan diri.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Kejadian itu turut tular di media sosial selepas seorang pengguna akaun memuat naik video berkenaan yang memaparkan sebuah kereta sedan yang dipercayai cuba melarikan diri dengan enggan berhenti ketika diarahkan anggota Trafik Peronda Lebuhraya,sebelum memecut dan memandu secara berbahaya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN