PMKS perlu sedia menghadapi cabaran semasa - Azizan Osman - Utusan Malaysia

PMKS perlu sedia menghadapi cabaran semasa – Azizan Osman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) perlu bersedia menghadapi perubahan teknologi, peningkatan kos dan persaingan pasaran bagi memastikan perniagaan terus berdaya saing.

Pengasas RichWorks Consulting Group (RCG) dan Mentor Usahawan, Datuk Wira Dr. Azizan Osman berkata cabaran terbesar usahawan hari ini bukan sekadar mengurus operasi, tetapi memastikan pemimpin syarikat mampu menyesuaikan perniagaan dengan perubahan teknologi, pasaran dan landskap ekonomi terkini.

“Ramai tidak mengetahui apa yang berlaku di sebalik tabir, tekanan yang ditanggung oleh pemilik syarikat, keputusan sukar yang terpaksa dibuat serta pengorbanan yang dilakukan untuk mempertahankan perniagaan dan mata pencarian ramai pekerja.

“Mereka hanya melihat apabila sebuah syarikat jatuh, tetapi mereka tidak melihat berapa lama syarikat itu dibina, berapa banyak kegagalan yang telah dilalui sebelum berjaya, berapa ramai pekerja yang bergantung kepada syarikat itu dan berapa ramai ahli keluarga yang sama-sama berkorban sepanjang perjalanan tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada program Inner Circle Meeting (ICM) Johor yang menghimpunkan lebih 200 usahawan dari seluruh negara bagi memperkukuh strategi, kepimpinan dan sistem perniagaan supaya lebih bersedia menghadapi perubahan ekonomi dan industri.

Turut hadir adalah penulis 14 buku antarabangsa bersama bapa pemasaran moden, Philip Kotler dan pengasas firma perkhidmatan profesional Indonesia, PenMCorp (MarkPlus), Bapak Hermawan Kartajaya yang turut berkongsi input terkini mengenai strategi pemasaran dan pertumbuhan perniagaan.

Turut menjadi tetamu jemputan ialah bekas atlet kebanggaan negara, Josiah Ng yang merupakan pemenang pingat emas Sukan Komanwel serta tiga kali mewakili Malaysia ke Sukan Olimpik.

beliau berkongsi mengenai kepentingan mindset, disiplin serta mentaliti berprestasi tinggi dalam menghadapi cabaran dunia perniagaan.

“Apabila sesebuah syarikat berdepan masalah, kesannya bukan sekadar kepada pemilik, malah turut melibatkan pekerja, pembekal, pelanggan dan keluarga yang bergantung kepada kelangsungan perniagaan tersebut, justeru setiap komen atau persepsi yang disebarkan tanpa fakta juga memberi kesan kepada ramai pihak yang tidak bersalah.

“Sepanjang hampir dua dekad membimbing komuniti usahawan, saya tidak pernah melihat sebuah syarikat gagal hanya kerana satu faktor kerana prestasi sesebuah perniagaan dipengaruhi oleh gabungan pelbagai perkara termasuk perubahan ekonomi, aliran tunai, persaingan pasaran, teknologi, kepimpinan organisasi, disiplin pelaksanaan serta keputusan yang dibuat oleh ‘driver’ kepada syarikat itu.

“Ramai mencari siapa yang hendak dipersalahkan apabila sebuah syarikat jatuh, sedangkan soalan yang lebih penting ialah apa yang telah berubah dalam pasaran, apa keputusan yang telah dibuat oleh syarikat dan sejauh mana ‘driver’ kepada syarikat itu bersedia berubah apabila dunia di sekelilingnya berubah,” jelasnya.

Josiah menjelaskan seorang mentor tidak pernah mempunyai kuasa untuk menjamin seseorang usahawan akan berjaya sepanjang hayat kerana dunia perniagaan sentiasa berubah, namun peranan mentor adalah membina cara berfikir, kepimpinan, disiplin, strategi dan daya tahan supaya seseorang usahawan mempunyai keupayaan untuk bangkit apabila diuji.

“Seorang mentor boleh menunjukkan jalan, tetapi yang memegang stereng tetap driver kepada syarikat itu sendiri kerana setiap keputusan berkaitan operasi, kewangan, pengambilan pekerja, pelaburan dan hala tuju syarikat akhirnya ditentukan oleh pemilik serta barisan kepimpinan organisasi.

“Sebab itu RichWorks sentiasa memberi penekanan bahawa transformasi sesebuah syarikat bermula daripada transformasi driver kerana apabila pemimpin berubah daripada segi cara berfikir, disiplin, kepimpinan dan keberanian membuat keputusan, organisasi juga akan mula berubah.

“Cabaran sebenar PMKS hari ini bukan semata-mata ekonomi, tetapi apabila driver kepada syarikat berhenti belajar sedangkan pelanggan berubah, teknologi berubah dan pasaran berubah setiap hari,” ujarnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN