PM umum RM2 juta kepada Institut Pemikiran Al-Qaradawi

PM umum RM2 juta kepada Institut Pemikiran Al-Qaradawi

PERDANA menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Perasmian Seminar Pemikiran Yusuf Al-Qaradhawi, di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka, di sini hari ini. Foto: SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta kepada Institut Pemikiran Al-Qaradawi sebagai tanda sokongan penuh terhadap penubuhan institusi itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan tersebut telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan (MoF).

Menurut beliau, dana berkenaan akan digunakan bagi pelancaran serta pengoperasian Institut Pemikiran Al-Qaradawi.

“Pada hemat saya, sekiranya disalurkan RM500,000 sekalipun, pihak mereka sudah cukup gembira. Namun, demi memastikan agenda ini dilaksanakan dengan tekun dan serius, peruntukan yang lebih wajar disalurkan.

“Namun, dengan hikmah dan kebijaksanaan, serta cabaran tuntutan zaman dan hakikat kepelbagaian yang wujud, saya berasa kurang selesa apabila usaha memartabatkan Islam diiringi dengan ancaman atau gertakan yang menyebabkan sebahagian daripada warga kita berasa terpinggir dan terhina.

“Insya-Allah, saya akan berhubung dengan anak beliau, Dr. Muhammad al-Qaradawi pada malam ini juga untuk memaklumkan perkembangan ini. Saya akan menulis surat kepada beliau untuk menyampaikan kejayaan usaha kita,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Seminar Pemikiran Yusuf Al-Qaradawi dan Institut Pemikiran Al-Qaradawi di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini, hari ini.

Anwar berkata, kerajaan turut bercadang menganjurkan satu majlis khas bagi memperingati ulama tersohor, Syeikh Yusuf al-Qaradawi dalam masa terdekat.

“Saya akan mencadangkan agar dengan kerjasama Institut Al-Qaradawi dan Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) untuk mengadakan satu lagi majlis.

“Di samping itu, saya sendiri akan menyediakan kenyataan media berkenaan pandangan saya selaku pengamal politik dan pentadbiran berhubung penterjemahan karya Syeikh al-Qaradawi mengenai Fiqh al-Daulah atau Fiqh Kenegaraan.

“Perkara ini telah lama saya teliti, termasuk nota-nota ringkas yang pernah dikirimkan oleh beliau kepada saya semasa saya berada di dalam penjara dahulu,” katanya.

Mengimbas kembali, Anwar berkata, Allahyarham Syeikh Yusuf sebelum ini pernah meminta beliau menterjemahkan hasil penulisannya.

“Dahulu beliau mendesak saya untuk menterjemahkannya, walaupun pada awalnya saya ragu-ragu kerana hanya memahami sekitar 20 peratus daripada teks tersebut, namun saya berusaha juga untuk memahaminya,” katanya.

Tambahnya, tokoh ilmuwan itu merupakan seorang pemikir ulung yang lahir hanya sekali dalam tempoh puluhan, malah ratusan tahun.

“Beliau mempunyai keberanian serta ketegasan moral yang luar biasa untuk menyatakan kebenaran dan menegur sesiapa sahaja demi mempertahankan keadilan serta nasib umat.

“Seluruh prinsip asas wasatiyyah yang diperjuangkan beliau berasaskan tradisi ilmu dan aqliyyah iaitu keupayaan untuk mendengar dan berhujah,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN