SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) didakwa merupakan gabungan politik yang kini berdepan kemerosotan sokongan sehingga disifatkan sebagai pihak yang sedang ‘karam’, bukannya Barisan Nasional (BN) bersama Perikatan Nasional (PN).
Penyelaras Negeri Parti Wawasan Negara (Wawasan) Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shahrin berkata, kedudukan PH semakin dipersoalkan apabila sekutunya, DAP, dikatakan mula menilai semula hala tuju politik selepas beberapa keputusan pilihan raya yang kurang memberangsangkan.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Chegu Bard berkata, bukan rahsia lagi DAP akan mengadakan perbincangan mengenai kedudukan parti itu sama ada kekal bersama PH atau mencari pendekatan baharu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Katanya, kekalahan teruk DAP pada PRN Sabah dan kehilangan beberapa kerusi pada PRN Johor menjadi antara faktor mendorong parti itu menilai semula kedudukan dalam gabungan berkenaan.
“PH yang sebenarnya sedang menjadi Titanic, tetapi mereka masih dalam sindrom penafian terhadap realiti sebenar,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini, mengulas kenyataan Timbalan Setiausaha Agung DAP, Hannah Yeoh yang menyifatkan kerjasama BN dan PN umpama kapal Titanic yang hanya menunggu masa untuk karam.
Ahli Parlimen Segambut itu dilaporkan berkata, kerjasama kedua-dua gabungan itu mungkin dilihat kukuh pada permulaan, namun sukar bertahan apabila masing-masing mempunyai cita-cita politik yang berbeza.
Sidang media itu turut dihadiri dua bekas pemimpin akar umbi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Alif Asyraf Azman dan Abdul Aziz Jamaludin.
Badrul Hisham berkata, DAP berkemungkinan mempertimbangkan untuk kembali bertanding menggunakan logo sendiri pada pilihan raya akan datang jika sokongan terhadap parti itu terus merosot.
“Tindakan ini dianggap wajar terutamanya apabila sokongan kepada mereka terus merosot seperti yang ditunjukkan dalam PRN Johor,” katanya. – UTUSAN










