PUTRAJAYA: Pakatan Harapan (PH) menghormati keputusan rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan menyifatkan keputusan itu sebagai ruang untuk melakukan muhasabah dan memperkukuh semula sokongan rakyat.
Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya Negeri (JPRN) Selangor, Dr. Sathia Prakash Nadarajan berkata, setiap keputusan yang dibuat pengundi perlu dihormati kerana kuasa sebenar dalam sistem demokrasi berada di tangan rakyat.
Beliau bagaimanapun menyifatkan kemenangan Dr. Maszlee Malik di Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa sebagai perkembangan positif yang membuktikan masih wujud keyakinan rakyat terhadap kepimpinan dan rekod perkhidmatan calon PH di peringkat akar umbi.
“Saya mengucapkan tahniah kepada Dr. Maszlee atas kemenangan di DUN Puteri Wangsa dan berharap mandat yang diberikan dapat diterjemahkan kepada khidmat terbaik demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan Johor.
“Pada masa sama, tahniah juga kepada semua calon yang diberikan mandat oleh rakyat Johor. Amanah yang dipikul perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, integriti dan keikhlasan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, keputusan PRN Johor turut memberikan pelbagai pengajaran kepada PH khususnya dalam aspek memperkukuhkan jentera akar umbi, mendekati rakyat lebih awal, memastikan calon yang diketengahkan benar-benar bersedia serta memahami keperluan masyarakat setempat.
Sathia berkata, fokus selepas ini perlu diberikan kepada usaha membangunkan Johor secara lebih inklusif menerusi pewujudan peluang ekonomi, peningkatan kemudahan kesihatan, pemerkasaan pendidikan dan kebajikan rakyat.
“Perjuangan tidak berakhir selepas pilihan raya. Hubungan dengan rakyat perlu terus diperkukuhkan melalui khidmat berterusan, kesediaan mendengar suara mereka serta komitmen mencari penyelesaian kepada cabaran yang dihadapi rakyat,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas, sukarelawan dan penyokong yang telah berkorban masa serta tenaga sepanjang kempen PRN Johor. – UTUSAN










