Pesara kerajaan dapat diskaun hingga 25 peratus untuk penginapan di AnCasa Hotel & Resorts - Utusan Malaysia

Pesara kerajaan dapat diskaun hingga 25 peratus untuk penginapan di AnCasa Hotel & Resorts

SHAH AZAM KHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UDA Holdings Berhad (UDA) menawarkan promosi diskaun istimewa sehingga 25 peratus khas buat pesara kerajaan menginap di rangkaian hotel, AnCasa Hotels & Resorts.

Rangkaian hotel milik UDA itu mengendalikan empat hotel iaitu AnCasa Hotel Kuala Lumpur, AnCasa Resort Port Dickson di Negeri Sembilan, AnCasa Royale Pekan di Pahang serta Kuala Terengganu Golf Resort di Terengganu.

Naib Presiden Kanan Bahagian Hospitaliti UDA, Shah Azam Khan Noor Mohammad berkata, kempen promosi Istimewa Pesara Kerajaan yang berlangsung bermula 15 Julai sehingga 31 Disember ini merupakan tanda penghargaan UDA terhadap jasa dan sumbangan pesara sepanjang tempoh perkhidmatan mereka kepada negara.

“Kempen ini juga diharap dapat menggalakkan para pesara meneroka destinasi pelancongan tempatan serta menikmati masa yang lebih bermakna serta berkualiti bersama keluarga dan insan tersayang, seterusnya menyumbang kepada perkembangan sektor pelancongan domestik negara,” katanya dalam kenyataan.

Promosi yang ditawarkan merangkumi diskaun sebanyak 25 peratus bagi penginapan, 20 peratus diskaun untuk makanan dan minuman (makan di premis sahaja), serta 20 peratus diskaun untuk permainan golf di Kuala Terengganu Golf Resort. 

Selain itu, pesara yang menempah bilik di bawah kategori “bilik sahaja ’ selama tiga malam berturut-turut juga layak menerima sarapan bufet percuma untuk dua orang dewasa. 

Menerusi promosi ini, para pesara diberikan pilihan fleksibel untuk membuat tempahan bilik sahaja dengan potongan diskaun yang ditawarkan atau bilik berserta sarapan pagi mengikut pilihan dan kesesuaian masing-masing.

Bagi menikmati tawaran ini, tempahan perlu dibuat secara terus melalui saluran rasmi AnCasa Hotels & Resorts, iaitu laman web rasmi www.ancasahotels.com.my, e-mel, panggilan telefon atau hadir terus ke premis berkenaan. 

Tempahan yang dibuat melalui platform pihak ketiga atau Agensi Pelancongan Dalam Talian (OTA)  tidak layak untuk menikmati promosi ini. 

Promosi ini juga tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan serta tidak boleh digabungkan dengan mana-mana promosi, baucar atau pakej lain yang sedang ditawarkan oleh AnCasa Hotels & Resorts.

Orang ramai turut disaran untuk merancang percutian lebih awal, terutamanya menjelang musim cuti sekolah, cuti umum dan hujung minggu bagi memastikan tempahan lebih lancar, tertakluk kepada kekosongan bilik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN