Pesara kerajaan berusia 102 tahun disantuni Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam 

Pesara kerajaan berusia 102 tahun disantuni Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam 

WAN Ahmad Dahalan Abdul Aziz (kiri) menyampaikan kad pesara baharu kepada Ong Siew Choon pada Program Santuni Pesara Bersama Ketua Pengarah Perkhidmatan di Seremban hari ini.-UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pesara kerajaan berusia 102 tahun antara lima orang di daerah ini yang menerima kunjungan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, hari ini.

Ziarah itu yang dibuat melalui Program Santuni Pesara Bersama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bertujuan menyantuni para pesara kerajaan dan menyampaikan bantuan serta sumbangan.

Wan Ahmad Dahalan berkata, program tersebut mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam menghargai jasa dan pengorbanan warga perkhidmatan awam yang telah menyumbang kepada pembangunan negara terutamanya mereka yang berkhidmat semasa negara mula mencapai kemerdekaan.

“Kerajaan menghargai jasa mereka yang terbabit membangunkan negara pada peringkat permulaan.

“Di samping memastikan kebajikan mereka terus diberi perhatian selepas persaraan,” katanya kepada para pemberita selepas berkunjung ke rumah Ong Siew Choon yang berusia 102 tahun.

Siew Choon bersara sebagai Pekerja Rendah Awam pada 1979 dan kini tinggal bersama anak perempuannya, Yeoh Kim Yeok, 75, yang juga pesara guru.

Siew Choon kini dianggap pesara kerajaan yang paling tua di negara ini.

Wan Ahmad Dahalan memberitahu, program ziarah itu turut disertai rakan strategik JPA iaitu Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Negeri Sembilan (ICU).

Jelasnya, pihaknya turut menyampaikan sumbangan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sentiasa memberi perhatian terhadap nasib pesara kerajaan.

“Selain menyampaikan sumbangan, sesi ziarah ini turut menjadi ruang untuk mendengar sendiri keadaan serta keperluan pesara bagi memastikan sokongan yang diberikan kekal relevan dengan keperluan mereka,” ujarnya

Tambahnya, seramai 125 pesara kerajaan telah diziarahi beliau sejak awal tahun ini hingga kini.

“Program ini akan menjadi kebiasaan bagi saya setiap kali ada majlis rasmi kerajaan di setiap negeri,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN