Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut langgar kereta abai lampu isyarat

Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut langgar kereta abai lampu isyarat

PERODUA Myvi yang terbalik setelah kemalangan dengan sebuah motosikal berkuasa tinggi di simpang lampu isyarat Taman Bandar Cendana, Lencongan Timur di Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang kakitangan awam di sebuah kem tentera maut kemalangan selepas motosikal berkuasa tinggi dinaikinya merempuh kereta yang dipercayai melanggar lampu isyarat di simpang Taman Bandar Cendana, Lencongan Timur, di sini pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 9 pagi membabitkan sebuah motosikal berkuasa 600cc yang belum dikenal pasti jenisnya dan kereta Perodua Myvi.

“Siasatan awal mendapati penunggang motosikal berumur 49 tahun dalam perjalanan ke arah Padang Temusu, manakala kereta dipandu wanita berumur 20-an dari arah bertentangan.

“Ketika tiba di simpang lampu isyarat itu, pemandu kereta terus membelok ke kanan sedangkan lampu isyarat masih merah,” katanya.

Kata Hanyan, motosikal yang bergerak lurus dalam kelajuan tinggi telah melanggar bahagian kiri kereta itu hingga menyebabkan kenderaan terbabit terbalik dan penunggang motosikal tercampak sebelum maut di lokasi kejadian.

“Mangsa dibawa untuk proses bedah siasat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) manakala pemandu kereta yang turut cedera diberikan rawatan di hospital sama.

“Hasil siasatan lanjut mendapati kejadian itu berpunca daripada kecuaian pemandu kereta Perodua Myvi yang melanggar lampu isyarat dan cuai ketika memasuki simpang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN