Penstrukturan 2018 pulih kewangan TH - Utusan Malaysia

Penstrukturan 2018 pulih kewangan TH

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelan penstrukturan semula pada 2018 bagi menangani kedudukan kewangan Lembaga Tabung Haji (TH) berjaya memulihkan institusi itu daripada kerugian lebih RM10 bilion.

Meskipun memerlukan tindakan penyelamatan kewangan (bailout) segera daripada kerajaan, langkah itu membuahkan hasil yang boleh dilihat daripada peningkatan agihan keuntungan dinikmati pendeposit iaitu 3.1 peratus pada 2023, 3.25 peratus (2024) dan 3.5 peratus (2025).

Sekiranya tidak ditangani se­belum akhir tahun 2018, TH berkemungkinan tidak dapat memenuhi syarat di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) untuk mengisytiharkan sebarang agihan keuntungan.

Bagi memperkukuh tadbir urus TH, antara syor yang dica­dangkan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) adalah tiada pelantikan membabitkan ahli politik yang masih aktif dan kawal selia dipertanggungja­wabkan kepada dua menteri berbeza yang menguruskan urusan haji dan pelaburan dana TH.

RCI juga mendedahkan, pihak berwajib telah menegur amalan perakaunan yang tidak memberi gambaran kewangan sebenar.

Malah, Bank Negara Malaysia (BNM) juga membangkitkan kebimbangan terhadap kedudukan aset TH yang lebih rendah berbanding liabiliti dan agihan keuntungan yang tinggi.

Jurang antara aset dan liabi­liti yang dikenal pasti pada 2017 terus meningkat pada 2018 sehingga mencecah lebih RM10 bilion.

Pelan pemulihan memerlukan TH menjual aset kurang berdaya saing dan bermasalah kepada syarikat bertujuan khas (SPV) milik penuh kerajaan pada nilai premium bagi menutup jurang antara aset dan liabiliti supaya TH kekal upaya (solven).

Aset-aset tersebut digantikan dengan sukuk terbitan Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. (UJSB) yang mendapat komitmen daripada kerajaan untuk dilangsaikan bersama keuntungan antara 4.05 hingga 4.10 peratus setahun.

TH juga berjaya mengambil alih semula aset yang memberi nilai tambah kepada portfolio pelaburan dengan cara lebih berimpak.

Setelah meneliti aset-aset yang ditawarkan oleh UJSB, TH membeli semula tanah di Tun Razak Exchange (TRX) pada harga lebih murah RM270 juta berbanding harga penjualan asal RM400 juta.

TH juga membeli semula ladang kelapa sawit UJ Estates (Holdings) Sdn. Bhd. pada harga RM695 juta berbanding harga penjualan asal RM800 juta.

Ini membuktikan TH hanya mengambil alih semula aset yang memberi nilai tambah kepada portfolio pelaburan.

Antara syor suruhanjaya yang perlu diberikan perhatian adalah pelantikan pengerusi dan ahli lembaga pengarah TH tidak seharusnya membabitkan ahli politik yang masih aktif.

Ini penting bagi menjamin kebebasan dan integriti institusi, selain penglibatan ahli politik dalam pengurusan menimbulkan pelbagai persepsi dalam kalangan masyarakat.

“Pertembungan ideologi politik yang rancak akhir-akhir ini menyebabkan ada pihak-pihak yang mengambil ke­sempatan dengan menjadikan keputusan-keputusan lembaga sebagai bahan kritikan sehingga menjejaskan kredibiliti TH.

“Sehubungan itu, RCI berpandangan jawatan pengerusi dan anggota TH tidak wajar dilantik dalam kalangan ahli politik yang masih aktif, sekiranya seseorang yang dilantik sebagai pengerusi dan anggota lembaga,” katanya.

Laporan itu turut menge­syorkan kawal selia TH dipertanggungjawabkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Menteri Kewangan.

Suruhanjaya mengesyorkan, pelantikan pengerusi, ketua pegawai eksekutif dan lembaga pengarah TH dipertanggungjawab kepada Perdana Menteri.

Perdana Menteri akan di­bantu dan dinasihati oleh satu jawatankuasa penasihat bebas yang akan melakukan proses pemilihan, seterusnya mencadangkan nama calon yang harus dilantik.

“Ia bagi mewujudkan proses lebih telus dan profesional, struktur atau keahlian jawatankuasa atau badan penasihat bebas yang bersesuaian yang boleh dikaji serta dipertimbangkan kerajaan.

“Kewujudan badan bebas untuk menasihati dan membantu Perdana Menteri dalam hal ehwal pemilihan penyandang sesuatu jawatan bukanlah baharu dan luar biasa. Malah ia dijadikan amalan dalam proses pemilihan hakim mahkamah atasan melalui penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman,” katanya.

Laporan itu turut berpandangan adalah wajar Menteri Kewangan dipertanggungja­wabkan mengenai pengurusan pelaburan TH.

Ini kerana pengurusan pe­laburan TH memberi kesan kepada ekosistem kewangan negara.

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, kerajaan akan menyelesaikan baki 25 peratus daripada 25 syor RCI secepat mungkin.

Beliau berkata, baki syor berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut kesesuaian dan keperluan semasa kerana mengambil kira pelbagai aspek berkaitan.

“Sememangnya ada (garis masa). Kita akan melakukan seberapa cepat yang mungkin tetapi ia mengikut realiti yang ada.

“Ia dilakukan dengan penuh bijaksana, mengambil kira realiti dan segala aspek yang perlu kita tangani,” katanya ketika ditemui pada Muzakarah Muamalat dan Kewangan Islam 2026 di Kuala Lumpur semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN