KUALA LUMPUR: Seorang penghantar makanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menunggang motosikal secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal lain, semalam.
Pengakuan itu dibuat tertuduh, Muhammad Ridzuan Armis, 21, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aliaa Anwar.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menunggang motosikal jenis Yamaha secara melulu sehingga menyebabkan kematian Muhammad Nazri Shahadan, 47, di Jalan Dewan Bahasa dari arah Jalan Hang Tuah di sini, pada pukul 2.30 pagi, 16 Julai lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa, Inspektor Shazwan Hasifi Shahrun mencadangkan Muhammad Ridzuan dikenakan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh yang diwakili peguam bela, Ammanjeet Singh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya masih muda selain ia merupakan kesalahan pertama.
“Tertuduh tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk membayar wang jaminan yang tinggi memandangkan dia bekerja sebagai penghantar makanan dan anak guam saya telah memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan Muhammad Ridzuan diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin beserta penggantungan lesen memandu sehingga perbicaraan selesai.
Kes ditetapkan untuk sebutan semua bagi serahan dokumen pada 2 Oktober ini.
Semalam, media melaporkan seorang penunggang motosikal maut selepas bertembung dengan sebuah motosikal lain yang ditunggang lelaki berusia 21 tahun itu.
Siasatan awal mendapati pemuda itu dipercayai berpatah balik dan menunggang secara melawan arus selepas menyedari terdapat sekatan jalan raya oleh pihak polis.
Tindakan itu menyebabkan motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah motosikal jenis SYM yang ditunggang mangsa kira-kira 50 meter dari lokasi sekatan sehingga mengakibatkan mangsa cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.-UTUSAN










