Penggunaan ringgit, yuan terus diperluas dalam perdagangan dengan China - Utusan Malaysia

Penggunaan ringgit, yuan terus diperluas dalam perdagangan dengan China

KUALA LUMPUR 1 JULAI 2026 - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Global Development Centre (GDC) Ant International Kuala Lumpur di Menara Exchange 106 @ TRX hari ini. / M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penggunaan mata wang ringgit dan yuan dalam urus niaga perdagangan antara Malaysia dengan China terus diperluaskan dengan peratusan terkini mencecah 18 peratus berbanding lima peratus sebelum ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bukan bertujuan mengetepikan dolar AS, sebaliknya mewujudkan sistem perdagangan yang lebih pelbagai dan berdaya tahan.

“Ini bukan soal menghapuskan penggunaan dolar sepenuhnya kerana dolar masih memainkan peranan penting dalam transaksi kewangan antarabangsa.

“Sebaliknya, kita memperluaskan penggunaan mata wang tempatan seperti yuan dan ringgit dalam urusan perdagangan. Dahulu penggunaannya kurang daripada lima peratus daripada jumlah dagangan dua hala, kini meningkat kepada kira-kira 18 peratus.

“Ini berlaku kerana adanya keyakinan serta komitmen bersama untuk memastikan perubahan dasar ini memberi manfaat kepada kedua-dua ekonomi dan rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Pusat Pembangunan Global Ant International di Kuala Lumpur, hari ini.

Anwar berkata, negara-negara global selatan seperti China, India, Malaysia bahkan Asia Tenggara mewarisi sistem kewangan global yang terlalu bergantung kepada dolar AS.

Hal itu katanya, lebih menguntungkan syarikat multinasional besar berbanding perusahaan kecil.

Sehubungan itu, beliau berkata, institusi kewangan dan dasar baharu perlu memainkan peranan dalam mewujudkan sistem yang lebih inklusif supaya manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati secara lebih meluas.

Dalam pada itu Anwar berkata, kerjasama ekonomi Malaysia dan China tidak hanya terhad kepada hubungan diplomatik, sebaliknya diterjemahkan melalui dasar yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara dan rakyat.

Beliau berkata, ekonomi dunia yang saling bergantung menyebabkan sebarang kejutan di satu bahagian dunia mampu memberi kesan kepada negara lain, justeru usaha mempelbagaikan penggunaan mata wang dalam perdagangan dapat membantu meningkatkan ketahanan ekonomi.

Tegasnya, dunia memerlukan inovasi yang mampu mengurangkan pendedahan kepada kejutan ekonomi antarabangsa serta memperluaskan akses kepada pembiayaan ketika berdepan krisis kewangan global. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN