Pengarah syarikat didenda RM18,000 guna dokumen palsu mohon PLKS

Pengarah syarikat didenda RM18,000 guna dokumen palsu mohon PLKS

KOMPLEKS MAHKAMAH KUALA LUMPUR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat pembinaan didenda RM18,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menggunakan dokumen palsu bagi tujuan permohonan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), tiga tahun lalu.

Hakim Azura Alwi menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Najiha Salim, 32, selain memerintahkan wanita itu dipenjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan dan tertuduh membayar denda tersebut.

Najiha didakwa telah menggunakan satu dokumen palsu iaitu Surat Penganugerahan Projek Pembangunan Bercampur bagi dua lot tanah di Jalan Dagang dan Jalan Ampuan, Batu Pahat, Johor daripada sebuah syarikat hartanah bertarikh 3 Mei 2023.

Kesalahan itu didakwa dilakukan dengan cara mengarahkan seorang `runner’ untuk mengemukakan dokumen tersebut kepada Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) bagi permohonan pas tersebut di Unit Taskforce Imigresen Kuala Lumpur pada Oktober 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, Najiha sebagai pengarah syarikat yang mengendalikan perkhidmatan pembersihan, pembinaan dan penempatan tenaga kerja telah melantik Norlinda Osman mewakili syarikat bagi urusan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0.

Urusan itu melibatkan pendaftaran maklumat bagi 47 pendatang asing tanpa izin (PATI) di bawah program berkenaan untuk permohonan PLKS.

Bagaimanapun, siasatan mendapati salah satu dokumen yang dikemukakan bagi menyokong permohonan tersebut adalah palsu sebelum wanita itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 17 Jun 2025.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irna Julieza Maaras mencadangkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kerana kesalahan yang dilakukan melibatkan dokumen keselamatan negara.

“Kami memohon hukuman berbentuk pengajaran untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan juga memberi amaran kepada masyarakat. Ia perlu dikenakan dengan tujuan supaya tertuduh tidak mengulangi kesalahan sama.

“Kenyataan bahawa peruntukan undang-undang dengan jelas menggariskan hukuman penjara terlebih dahulu dan diikuti dengan denda jelas menunjukkan niat pihak legislatif untuk pertimbangan serius harus diberikan,” katanya.

Peguam bela, Shahidah Muslimah Roslan mewakili Najiha pula memohon hukuman berbentuk denda pada kadar minimum atas alasan anak guamnya menghidap penyakit buah pinggang selain mempunyai tanggungan dua anak kecil dan ibu bapa di Sabah.

“Atas faktor kemanusiaan kepada ibu bapa dan keluarga, mohon satu hukuman yang berbentuk denda sahaja diberikan.

“Sepanjang tempoh tangkapan sehingga pada hari ini dipertuduhkan, tertuduh juga tidak pernah gagal untuk hadir ke pejabat SPRM bagi melapor diri,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN