PETALING JAYA: Pemuda MCA mempersoalkan kewujudan persefahaman antara Barisan Nasional (BN) dan Pas dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Setiausaha Agung Pemuda MCA, Saw Yee Fung menuntut penjelasan berhubung pendirian BN terhadap sebarang bentuk kerjasama dengan Pas.
Katanya, kekeliruan timbul selepas kenyataan sebelum ini menyebut BN tidak menjalinkan kerjasama dengan Pas, namun kini berbeza semasa kempen di Negeri Sembilan hendak bermula.
“Di Johor seminggu lalu, saya berkali-kali memberitahu pengundi bahawa kami tidak bekerjasama dengan Pas dan untuk menyekat ‘gelombang hijau’, mereka perlu mengundi BN,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Yee Fung berkata, pemimpin BN kemudiannya mengumumkan di pentas pengumuman calon mengenai kewujudan persefahaman dengan ‘rakan-rakan’ manakala pemimpin Pas pula mengesahkan kewujudan kerjasama dengan UMNO.
Beliau mempersoalkan sama ada sebarang persefahaman itu telah dipersetujui oleh MCA termasuk barisan kepimpinan tertinggi parti.
Yee Fung turut membangkitkan persoalan mengenai prinsip perjuangan MCA, khususnya berkaitan sekularisme dan demokrasi yang telah lama diperjuangkan.
“Apa garis merah yang ada? Apa prinsip yang masih dipertahankan?,” soalnya.
Menurut Yee Fung, sukar untuk menerima pendekatan politik yang hanya mengutamakan kemenangan dalam pilihan raya atau kedudukan politik.
“Maaf, saya mempunyai idealisme politik tersendiri dan saya tidak dapat bersetuju dengan perkara ini,” katanya.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh MCA atau BN berhubung perkara itu. – UTUSAN










