Pembantu kedai makan tidak mengaku guna wang ibu angkat RM182,223

Pembantu kedai makan tidak mengaku guna wang ibu angkat RM182,223

MOHAMAD Nor Farazul Mohamed (baju hijau) dibawa ke Mahkamah Majistret di Rompin, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN: Seorang pembantu kedai makan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Rompin di sini, hari ini atas tuduhan memiliki kad debit dan menggunakan wang milik ibu angkatnya berjumlah RM182,223.

Mohamad Nor Farazul Mohamed, 37, membuat pengakuan itu selepas tuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Melody Woon Sze Mun.

Mengikut kertas pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mempunyai dalam milikan atau kawalannya satu instrumen pembayaran berupa sekeping kad debit bank milik Shariffah Fadzilah Syed Nordin, 69, tanpa kebenaran yang sah pada 28 Julai lalu di sebuah gerai Majlis Daerah Pekan di Taman Seri Maulana Pekan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 424 A Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak kurang daripada RM5,000.

Menurut kertas pertuduhan kedua pula, pada 1 April 2026 sehingga 20 Jun 2026 di daerah Pekan, tertuduh didakwa dengan curangnya menyalahgunakan harta iaitu wang berjumlah RM182,223 kepunyaan individu sama dengan menggunakan kad debit miliknya tanpa pengetahuan dan kebenaran.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Khamisah Ismail manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ahmad Deniel Roslan. 

Sementara itu, dalam dua lagi pertuduhan berasingan, tertuduh pada 29 Julai di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Pekan didakwa memberikan kepada diri sendiri dadah jenis methamphetamine.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun dan menjalani tempoh pengawasan tidak kurang dua tahun.

Dalam pertuduhan keempat pula, tertuduh pada 29 Julai lalu di sebuah rumah di Kampung Permatang Perawan didapati memiliki 5.65 gram dadah jenis methamphetamine.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39 A (1) Akta sama yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang dua tahun dan dikenakan tidak kuran tiga sebatan.

Khamisah meminta wang jaminan RM15,000 dikenakan bagi pertuduhan pertama dan kedua manakala bagi pertuduhan ketiga dikenakan wang jaminan berjumlah RM3,000 manakala pertuduhan keempat RM7,000.

Ahmad Deniel memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh berpendapatan RM1,000 sebulan dan tertuduh berjanji akan hadir ke mahkamah serta mematuhi segala syarat yang dikenakan.

Sze Mun kemudiannya menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan pertama dan kedua manakala bagi pertuduhan ketiga wang jaminan ditetapkan RM1,500 dan pertuduhan keempat RM5,500.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 21 September ini. Tertuduh gagal membayar wang jaminan tersebut dan dihantar ke Penjara Penor di Pekan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN