PARIT: Seorang pemandu kereta disaman selepas dikesan membuat pusingan U di lokasi yang tidak dibenarkan dalam kejadian yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah berkata, rakaman video yang memaparkan sebuah kereta melakukan pusingan U di lokasi berkenaan mula dikesan polis selepas tular di Facebook.
Katanya, siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada pukul 10 pagi, 18 Julai lalu di Kilometer 41, Jalan Ipoh-Lumut berhampiran Kampung Durian Kudong, di sini.
“Bertindak atas maklumat yang diperoleh, polis berjaya mengesan pemandu kereta tersebut sebelum memintanya hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah bagi membantu siasatan.
“Siasatan lanjut mendapati lokasi kejadian merupakan jalan dua hala yang lurus, mempunyai garisan jalan yang jelas dan disediakan susur khas untuk membuat pusingan U. Keadaan cuaca ketika kejadian juga adalah baik dan berlaku pada waktu siang,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, pemandu terbabit telah hadir ke IPD Perak Tengah hari ini bagi dirakam percakapan dan hasil siasatan mendapati pemandu berkenaan melakukan satu kesalahan di bawah Kaedah 13, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana membuat pusingan U di tempat yang dilarang.
“Sehubungan itu, tindakan saman telah diambil terhadap pemandu berkenaan atas kesalahan tersebut,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya mematuhi peraturan lalu lintas, memandu secara berhemah dan tidak mengambil tindakan yang boleh membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain. – UTUSAN










