Pelantikan warga asing di MMC Port: Kerajaan tidak campur urusan pengurusan, selagi majoriti saham milik tempatan

Pelantikan warga asing di MMC Port: Kerajaan tidak campur urusan pengurusan, selagi majoriti saham milik tempatan

ANTHONY Loke pada sidang akhbar di Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak mencampuri sebarang urusan pengurusan syarikat pelabuhan termasuk pelantikan warga asing ke jawatan pengurusan tertinggi MMC Port Holdings Sdn. Bhd. selagi pegangan saham majoriti syarikat itu kekal dimiliki rakyat tempatan mengikut dasar sedia ada.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerajaan hanya mengawal selia aspek pegangan saham melibatkan konsesi dan aset strategik negara termasuk pelabuhan yang perlu mengekalkan pemilikan majoriti rakyat Malaysia sekurang-kurangnya 51 peratus.

Beliau berkata, sebarang pelantikan pengurusan termasuk ketua pegawai eksekutif atau pengerusi eksekutif adalah urusan dalaman syarikat dan tidak memerlukan kelulusan kerajaan.

“Bagi kerajaan, kita hanya kawal selia dari segi pegangan saham. Untuk konsesi dan aset strategik negara termasuk pelabuhan, ia mesti dimiliki majoriti rakyat Malaysia iaitu 51 peratus.

“Tetapi dari segi pengurusan, biasanya kerajaan tidak mencampuri urusan syarikat. Malah terdapat pelabuhan di negara ini yang diterajui ketua pegawai eksekutif warga asing,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Reuters mengenai pelantikan bekas Ketua Pegawai Eksekutif DP World dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sultan Ahmed Sulayem sebagai Pengerusi Eksekutif MMC Port Holdings. 

Mengenai dakwaan berhubung kemungkinan berlaku penjualan pegangan saham oleh pemilik MMC Corporation Bhd., Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary kepada pihak asing, Anthony berkata, setakat ini kerajaan tidak menerima sebarang makluman rasmi mengenainya.

“Kalau melibatkan apa-apa perubahan pegangan saham, ia mesti dimaklumkan kepada kerajaan melalui Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) kerana ia membabitkan syarikat konsesi.

“Setakat pengetahuan kami, tiada. Kami belum menerima sebarang maklumat atau notifikasi daripada syarikat mahupun pihak konsesi,” katanya.

Reuters sebelum ini melaporkan Sultan Ahmed Sulayem dilantik mengetuai MMC Port Holdings selepas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Azman Shah Mohd. Yusof meletakkan jawatan berkuat kuasa serta-merta. 

MMC Port ialah pengendali pelabuhan terbesar negara yang menguruskan tujuh pelabuhan utama di sepanjang Selat Melaka termasuk Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor Port dan Northport. 

Loke sebelum ini  menegaskan kerajaan tidak menghalang penjualan pegangan kepada pelabur asing selagi pemilikan majoriti sekurang-kurangnya 51 peratus kekal di tangan syarikat tempatan serta kerajaan dimaklumkan mengenai sebarang perubahan pegangan saham.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN