MELAKA: Seramai 339,398 pelancong kesihatan direkodkan berkunjung ke Melaka sehingga Jun lalu dengan 127,216 orang atau 37.5 peratus mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Mahkota.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, majoriti pelancong kesihatan yang memilih Melaka adalah dari Indonesia yang membuktikan kejatuhan nilai mata wang rupiah tidak menjejaskan kedatangan mereka untuk mendapatkan rawatan di hospital-hospital swasta di negeri berkenaan.
Katanya, keyakinan pesakit Indonesia terhadap mutu perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan menjadi faktor utama mereka terus memilih Melaka walaupun berdepan penyusutan nilai mata wang negara itu.
“Setakat ini, kejatuhan rupiah tidak memberikan kesan kerana mereka sudah menjadi pelanggan yang mempunyai keyakinan terhadap kualiti perubatan di Melaka.
“Mereka masih datang mendapatkan rawatan di hospital-hospital swasta di negeri ini, khususnya Pusat Perubatan Mahkota yang menerima tumpuan utama daripada pelancong kesihatan Indonesia,” katanya selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Blok Baharu Pusat Perubatan Mahkota di Banda Hilir, di sini hari ini.
Ab. Rauf berkata, pembinaan blok baharu hospital berkenaan dijangka meningkatkan kapasiti perkhidmatan kesihatan bagi menampung pertambahan pesakit tempatan dan antarabangsa, selain memperkukuh ekosistem pelancongan kesihatan negeri.
Katanya, pelaburan itu membolehkan hospital menerima lebih ramai pesakit serta memperluaskan penyediaan kemudahan dan kepakaran perubatan bertaraf tinggi.
Kerajaan negeri optimis sektor pelancongan kesihatan akan terus berkembang hasil kerjasama strategik dengan empat hospital swasta utama di Melaka, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan memperkukuhkan imej negeri sebagai hab rawatan kesihatan diyakini di peringkat serantau. – UTUSAN










