Peka tatacara kibar Jalur Gemilang, elak kesilapan AI - Utusan Malaysia

Peka tatacara kibar Jalur Gemilang, elak kesilapan AI

FAHMI Fadzil (dua dari kanan) dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 di Ipoh hari ini. - FOTO/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Orang ramai diminta peka terhadap tatacara mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang Program Kibar Jalur Gemilang sempena Bulan Kebangsaan 2026 bagi mengelakkan sebarang kesilapan, khususnya melibatkan imej yang dijana menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, orang ramai perlu meluangkan sedikit masa untuk mendapatkan maklumat mengenai tatacara mengibarkan Jalur Gemilang yang betul selain sentiasa berhati-hati ketika menjana kandungan menggunakan AI.

Menurut beliau, antara perkara penting yang perlu diberi perhatian ialah memastikan Jalur Gemilang dipaparkan dengan lengkap, termasuk mempunyai 14 jalur.

“Pastikan sepanjang Bulan Kebangsaan ini, apa-apa representasi Jalur Gemilang, terutama yang dihasilkan melalui AI, dijana dengan betul.

“Kita juga akan bekerjasama dengan Institut Akhbar Malaysia (MPI) dan Majlis Media Malaysia untuk berbincang dengan syarikat-syarikat media mengenai penggunaan Jalur Gemilang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 di sini hari ini.

Majlis dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Fahmi berkata, sekiranya berlaku kesilapan, kementerian akan mengambil pendekatan awal dengan memberikan nasihat dan menghubungi pihak yang terlibat supaya segera membuat pembetulan.

“Sekiranya terdapat pihak yang tersalah menghasilkan kandungan atau mengibarkan Jalur Gemilang, kita akan menasihati mereka supaya memperbetulkannya.

“Jika ia masih tidak diperbetulkan atas apa-apa sebab, barulah kita akan meneliti tindakan susulan yang wajar diambil. Namun, langkah pertama ialah memberikan nasihat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap Program Kibar Jalur Gemilang yang dilancarkan hari ini dapat menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat di seluruh negara, termasuk di kawasan perumahan, kampung dan premis kerajaan.

“Kita menggalakkan semua lapisan masyarakat mula mengibarkan Jalur Gemilang bermula sekarang sehingga sekurang-kurangnya 16 September,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN