Pegawai SPRM sertai latihan FBI - Utusan Malaysia

Pegawai SPRM sertai latihan FBI

IRAWAN Khlir
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus memperkukuh keupayaan pegawainya apabila seorang pegawai kanan agensi itu terpilih mewakili Malaysia menyertai Program Latihan FBI National Academy Siri Ke-299 di Quantico, Virginia, Amerika Syarikat.

Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya (Bahagian Operasi Khas) SPRM, Irawan Khlir merupakan pegawai ketiga daripada SPRM yang diberi penghormatan untuk menyertai program latihan antarabangsa tersebut.

SPRM memaklumkan, ini sekali gus mencerminkan pengiktirafan terhadap profesionalisme, kepimpinan dan keupayaan pegawai SPRM di peringkat global.

Katanya, program latihan yang akan berlangsung di Quantico, Virginia bermula 8 Julai sehingga 17 September ini menghimpunkan pegawai penguat kuasa undang-undang dari pelbagai negara.

“Latihan ini bertujuan meningkatkan kompetensi dalam aspek kepimpinan strategik, pengurusan operasi, teknik siasatan lanjutan, risikan berteknologi tinggi serta pengendalian ancaman keselamatan rentas sempadan.

“Penyertaan Irawan dalam program ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan dalam menyampaikan amalan terbaik global dan pendekatan penguatkuasaan moden yang lebih efektif,” katanya di sini hari ini.

Kata SPRM, pendedahan ini amat penting dalam mempertingkatkan keupayaan SPRM untuk terus beradaptasi dengan evolusi ancaman jenayah yang semakin kompleks dan sofistikated, khususnya melibatkan rasuah rentas sempadan, pengubahan wang haram, jenayah kewangan digital serta sindiket jenayah terancang.

Program ini turut dirangka secara komprehensif dan berintensiti tinggi merangkumi pelbagai modul latihan termasuk pengurusan strategik, kepimpinan operasi, pendekatan forensik moden, analisis risikan serta teknik penyiasatan berasaskan teknologi.

“Selain pembelajaran formal di bilik kuliah, program ini juga membuka ruang kepada interaksi strategik dan pertukaran pengalaman bersama pegawai penguat kuasa dari pelbagai negara, sekali gus membina jaringan profesional antarabangsa yang bernilai tinggi,” jelasnya.

SPRM memaklumkan agensi ini percaya setiap pegawai yang menjalani latihan ini akan memainkan peranan sebagai pakar rujuk dalaman dalam organisasi, memperkukuh keupayaan siasatan agensi serta menyumbang secara signifikan kepada penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP), dasar penguatkuasaan dan keberkesanan operasi.

Jelasnya, penyertaan ini juga selaras dengan aspirasi kepimpinan tertinggi SPRM untuk terus memperkasakan warga kerja dengan standard kompetensi bertaraf dunia, seiring dengan amalan agensi penguatkuasaan terkemuka antarabangsa.

“SPRM kekal komited untuk memastikan pembangunan modal insan terus diperkasa bagi melahirkan pegawai yang profesional, berintegriti tinggi, kompeten dan berdaya saing dalam usaha membanteras rasuah demi kesejahteraan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN