KUALA LUMPUR: Seramai 42,807 individu hilang pekerjaan di seluruh negara setakat 12 Jun lalu dengan sektor pembuatan kekal mencatatkan jumlah pemberhentian pekerja tertinggi, susulan peningkatan kos operasi dan ketidaktentuan global.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, berdasarkan statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), sektor pembuatan merekodkan 8,702 kes atau 20.7 peratus daripada keseluruhan kehilangan pekerjaan.
Katanya, sektor perdagangan borong dan runcit pula mencatatkan 7,560 kes diikuti aktiviti pentadbiran dan khidmat sokongan melibatkan 4,239 pekerja.
“Bagi tempoh yang sama, Perkeso telah meluluskan 134,123 tuntutan faedah di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang melibatkan jumlah bayaran keseluruhan RM248.23 juta.
“Tuntutan ini merangkumi Elaun Mencari Pekerjaan (EMP), Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB), Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA), selain pembiayaan Fi Latihan (FL) serta Elaun Latihan (EL),” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) berkenaan kesan krisis global terhadap pasaran pekerjaan serta statistik terkini pekerja yang kehilangan pekerjaan di negara ini. – UTUSAN







