Pasangan suami isteri naiki Perodua Kembara secara berbahaya ditahan

Pasangan suami isteri naiki Perodua Kembara secara berbahaya ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis menahan sepasang suami isteri selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan sebuah kenderaan Perodua Kembara di Lebuhraya Persekutuan menghala ke Kuala Lumpur pada 20 Jun lalu sehingga tular dalam laman sosial.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, tangkapan ke atas kedua-dua suspek berusia 50-an itu dibuat oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya sekitar pukul 9 malam tadi.

Katanya, suspek pertama iaitu pemandu kenderaan itu dikenakan reman selama empat hari sehingga 5 Julai manakala suspek kedua telah diberikan jaminan polis selepas rakaman percakapan diambil.

“Kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan keputusan kes,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, semua pengguna jalan raya dinasihati agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelakkan sebarang kejadian kemalangan dan polis tidak akan berkompromi kepada pengguna yang tidak mematuhi peraturan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Trafik IPD Petaling Jaya, Sarjan Kumaran Murugaya di talian 03-79662222 atau hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, polis giat mengesan pemandu Perodua Kembara yang melarikan diri selepas memandu secara berbahaya hingga mengakibatkan kemalangan di Lebuhraya Persekutuan, pada 20 Jun lalu.

Siasatan mendapati, kejadian berlaku sekitar pukul 6.10 petang yang mana kenderaan itu dipandu warga tempatan berusia 59 tahun dari arah Shah Alam menghala ke Kuala Lumpur.

Kes terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN