KUANTAN: Seorang pembantu kedai makan berusia 37 tahun bersama kekasihnya yang juga warga asing berusia 35 tahun ditahan kerana dipercayai bertindak sebagai penghantar atau transporter dadah dalam satu serbuan di Genting Permai, Bentong di sini, kelmarin.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, serbuan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Pahang kira-kira pukul 5 petang itu membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM728,000.
“Pasangan itu dipercayai menginap di sebuah hotel di lokasi terbabit sebelum mereka ditahan di kawasan parkir hotel berkenaan.
“Siasatan awal mendapati, pasangan itu bertindak sebagai transporter dengan upah RM5,000 untuk setiap trip dan bekalan dadah dipercayai diperoleh dari Lembah Klang untuk pasaran Pantai Timur,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontijen (IPK) di sini, hari ini.
Azry Akmar berkata, antara dadah yang dirampas ialah 2,925 gram ketamin, 1,010 gram kokain, 671 gram serbuk MDMA, 538 gram syabu serta 4.30 gram Erimin 5 dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM728,510.
“Turut disita dalam operasi itu ialah wang tunai RM1,000 dan seutas gelang emas bernilai RM1,600. Rampasan dadah ini dianggarkan mampu menjejaskan seramai 10,297 penagih sekiranya berjaya dipasarkan,” katanya.
Menurutnya, ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 6 Julai ini bagi membantu siasatan. – UTUSAN










