KUALA LUMPUR: Waran sekatan peruntukan mengurus sebanyak RM500 juta terhadap Kementerian Kesihatan (KKM) merupakan pelarasan teknikal dan tidak menjejaskan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pelarasan itu membabitkan lebihan peruntukan bagi perjawatan yang tidak dapat diisi, sekali gus membolehkan kerajaan menjimatkan RM500 juta tanpa menjejaskan operasi kementerian.
Katanya, pelarasan itu juga tidak melibatkan peruntukan pengoperasian, pembangunan, elaun petugas, program latihan atau pembelian aset perubatan, sebaliknya dibuat menerusi perancangan semula perbelanjaan dengan mengutamakan penggunaan sumber kewangan secara berhemat.
“Ingin diperjelas bahawa waran sekatan ini sebenarnya merupakan pelarasan teknikal terhadap peruntukan lebihan dan
tidak termasuk 18,641 perjawatan yang telah diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam untuk KKM bagi tahun ini.
“Kalaupun kita tawarkan lebih daripada 18,641 perjawatan itu, orangnya tidak ada. Jadi, di situlah kita dapat menjimatkan RM500 juta daripada peruntukan asal yang disediakan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Shahelmey Yahya (BN-Putatan) berhubung kebimbangan pelarasan fiskal kerajaan terhadap KKM akan menjejaskan penyampaian perkhidmatan serta pembangunan fasiliti kesihatan awam.
Dzulkefly berkata, dakwaan pelarasan tersebut akan menjejaskan perkhidmatan di hospital khususnya di kawasan luar bandar adalah tidak tepat kerana semua perkhidmatan asas dan projek pembangunan kesihatan kekal diteruskan. – UTUSAN









