KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan sedang menilai pelbagai pilihan pesawat tempur pelbagai peranan atau Multi-Role Combat Aircraft (MRCA) termasuk platform generasi 4.5 dan generasi kelima bagi memperkukuh keupayaan pertahanan udara negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penilaian itu dibuat secara menyeluruh dengan mengambil kira pelbagai faktor strategik sebelum keputusan muktamad mengenai perolehan dibuat.
Beliau berkata, antara aspek yang diberi perhatian adalah keperluan operasi, keberkesanan misi, keboleh selenggaraan, interoperabiliti, kos kitar hayat serta nilai strategik bagi memastikan aset yang dipilih benar-benar memenuhi keperluan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Kementerian sedang memperhalusi pelbagai pilihan, termasuk platform pesawat tempur generasi 4.5 dan generasi kelima.
“Penilaian ini mengambil kira keperluan operasi, keberkesanan misi, keboleh selenggaraan, interoperabiliti, kos kitar hayat serta nilai strategik bagi memastikan pilihan yang dibuat mampu memperkukuh keupayaan pertahanan udara negara untuk jangka masa panjang,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Ir. Ts. Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) mengenai status terkini perancangan penggantian pesawat F/A-18D Hornet TUDM serta pilihan alternatif di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Mengulas lanjut, Khaled berkata, kementerian turut menilai keperluan menggantikan pesawat F/A-18D Hornet bagi memastikan keupayaan pertahanan udara negara kekal relevan dan berkesan.
Sehubungan itu, beliau berkata, perolehan MRCA yang sebelum ini dirancang untuk dipertimbangkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-14 (RMK14) kini sedang dinilai untuk diawalkan pelaksanaannya dalam RMK13, tertakluk kepada pertimbangan kerajaan serta kedudukan kewangan semasa.
“Pesawat F/A-18D Hornet ketika ini masih berada dalam keadaan operasi yang baik hasil program penyelenggaraan, pembaikan dan peningkatan keupayaan yang dilaksanakan secara berterusan.
“Justeru, pesawat ini dijangka terus memenuhi keperluan operasi TUDM sehingga keputusan mengenai penggantian aset dimuktamadkan,” katanya. – UTUSAN










