KUALA LUMPUR: Malaysia memerlukan kira-kira 341,200 tenaga Penyelidik, Saintis, Jurutera dan Teknologis (RSET) menjelang 2030.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim berkata, ia bagi memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi termasuk kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, automasi, pendigitalan dan teknologi hijau.
Sasaran itu dibuat berdasarkan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 yang menetapkan nisbah 200 tenaga RSET bagi setiap 10,000 tenaga kerja menjelang 2030.
“Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030 di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), pembangunan modal insan tidak ditetapkan berdasarkan bilangan mutlak jurutera mengikut disiplin tertentu. Sebaliknya, pendekatan yang digunakan adalah melalui pembangunan ekosistem RSET secara menyeluruh.
“Jadi, bagi menyokong pertumbuhan industri berteknologi tinggi, DSTIN menyasarkan nisbah 200 RSET bagi setiap 10,000 tenaga kerja menjelang tahun 2030.
“Justeru, merujuk kepada sasaran ini dan unjuran guna tenaga negara sekitar 17.06 juta orang, Malaysia memerlukan kira-kira 341,200 tenaga kerja RSET menjelang tahun 2030,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Wira Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) yang meminta kementerian menjelaskan jumlah jurutera dalam pelbagai disiplin yang disasarkan dalam Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Nasional (2021-2030) bagi memenuhi permintaan industri seperti AI dan semikonduktor.
Dalam perkembangan sama, KPT memaklumkan berdasarkan data Sistem MyMOHES bagi tempoh 2023 hingga Mac 2026, seramai 556,556 pelajar diploma dan ijazah pertama memasuki IPTA.
Daripada jumlah itu, 326,419 pelajar atau 58.6 peratus mengikuti bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), manakala 230,137 pelajar atau 41.4 peratus memilih bidang bukan STEM.
Jelas Adam, statistik itu menunjukkan Institut Pengajian tinggi Awam (IPTA) terus memberi penekanan kepada pembangunan bakat dalam bidang STEM selaras dengan keperluan negara dan permintaan industri masa hadapan.
“Kementerian akan terus memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi agar penawaran program, kapasiti institusi serta pembangunan bakat sentiasa selari dengan keperluan industri dan aspirasi pembangunan negara,” katanya. – UTUSAN










