PARLIMEN: Khazanah, KWSP minta penswastaan MAHB disegerakan - Utusan Malaysia

PARLIMEN: Khazanah, KWSP minta penswastaan MAHB disegerakan

MAS ERMIEYATI SAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menegaskan agar penswastaan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) melalui rakan strategik teknikal (GIP) perlu disegerakan bagi mempercepat transformasi syarikat, selain meningkatkan kecekapan operasi dan daya saing lapangan terbang negara

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, hasil prosiding jawatankuasa itu mendapati, langkah itu bertujuan mempercepat proses membuat keputusan tanpa tekanan dividen pasaran awam serta memecahkan kelembapan budaya birokrasi yang wujud sebelum ini.

Menurut beliau, syarikat-syarikat penerbangan pula lebih memberi tumpuan kepada keberkesanan pelan transformasi MAHB berbanding isu pemilikan syarikat atau pemilihan rakan strategiknya.

“Pihak Khazanah dan KWSP menegaskan penswastaan melalui rakan strategik teknikal (GIP) diperlukan segera untuk menyuntik terapi kejutan (shock therapy) komersial, mempercepat keputusan tanpa tekanan dividen pasaran awam, dan memecahkan kelembapan budaya birokrasi sedia ada.

“Pihak syarikat penerbangan hanya melihat kepada hasil pelan transformasi MAHB dan bukan terhadap bentuk pemilikan MAHB atau pemilihan rakan strategik MAHB. Pihak syarikat penerbangan menuntut supaya lapangan terbang awam mendapat suntikan pelaburan modal yang sewajarnya.

“Selain itu, kompetensi serta pengoperasian lapangan terbang mesti berada pada tahap yang optimum bagi meningkatkan pengalaman pelanggan. Pihak syarikat penerbangan tempatan menzahirkan hasrat untuk dilibatkan secara lebih proaktif dalam pelan transformasi dan penambahbaikan pengoperasian lapangan terbang negara.

“Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Bursa telah mengesahkan bahawa segala proses pengambilalihan dan penswastaan MAHB, termasuk pelanjutan tempoh tawaran serta penurunan ambang syarat penerimaan daripada 90 peratus kepada 85 peratus adalah mematuhi undang-undang dan Kod Pengambilalihan,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen hari ini.

Tambah Mas Ermieyati, kerajaan masih mengekalkan kawalan strategik melalui pegangan 70 peratus saham oleh Khazanah dan KWSP serta kuasa ‘golden share’ meskipun Malaysia MAHB telah diswastakan.

Kata beliau, kerajaan berkuasa untuk melantik Pengerusi, Pengarah Urusan (MD) dan empat orang Ahli Lembaga Pengarah, di samping wakil tetap daripada pihak Khazanah dan KWSP.

“Pihak MOF, MOT, Khazanah dan KWSP telah memberi jaminan bahawa kedaulatan negara di pintu masuk utama tetap terpelihara. Aset dan tanah lapangan terbang kekal milik kerajaan, manakala MAHB hanyalah pengoperasi.

“Agensi keselamatan (PDRM, Imigresen dan Kastam) terus beroperasi sepenuhnya bagi memastikan kawalan sempadan di semua lapangan terbang pintu masuk utama negara.

“Selanjutnya, MAHB dan pihak konsortium tidak mempunyai akses terhadap data dan maklumat terperingkat seperti data imigresen yang masih di bawah pengurusan kementerian/agensi berkaitan.

“Transformasi lapangan terbang awam memerlukan komitmen kolektif. Dalam mempertingkat kesalinghubungan dan ketersambungan lapangan terbang awam, pihak MAHB, syarikat penerbangan, kementerian dan agensi kerajaan serta pihak pemegang taruh perlu bekerjasama dengan lebih erat bagi memastikan negara menjadi destinasi pelancongan global dan hab pelaburan yang berpotensi tinggi dan kompetitif,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN