KUALA LUMPUR: Kerajaan meluluskan lebih RM500 juta pembiayaan mikro kepada lebih 30,000 usahawan sebagai langkah segera membantu peniaga kecil dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) susulan peningkatan kos operasi berikutan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Selain itu, bagi tempoh 15 Mei hingga 30 Jun lalu, Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) turut meluluskan jaminan pembiayaan berjumlah RM219 juta yang memberi manfaat kepada lebih 300 PMKS khususnya dalam sektor agro, pembinaan, logistik dan pelancongan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan menyedari konflik yang berlarutan di Asia Barat memberi kesan berantai kepada ekonomi global termasuk menyebabkan kos logistik meningkat, harga input melonjak serta mengganggu rantaian bekalan.
“Kerajaan sentiasa memantau dengan teliti impak ketegangan geopolitik di Asia Barat yang mencetuskan kesan berantai terhadap ekonomi global, termasuk lonjakan kos logistik dan harga input.
“Kerajaan cakna tekanan ini turut dirasai para penjaja, PMKS yang merupakan antara golongan yang paling mudah terkesan kepada kejutan kos.
“Bagi mengurangkan tekanan kos dihadapi pengusaha PMKS, selain memastikan mereka dapat mengekalkan kelangsungan perniagaan, erajaan telah segera melaksanakan beberapa langkah,” katanya ketika sesi waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (BN-Kalabakan) yang meminta penjelasan berkenaan langkah segera dan konkrit yang telah diambil kerajaan untuk memastikan peniaga kecil, penjaja, dan PMKS tidak terus terbeban dan terpaksa gulung tikar akibat tekanan ekonomi global ini. – UTUSAN










