KUALA LUMPUR: Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di negara ini digesa memanfaatkan penganjuran Pameran Jentera Antarabangsa Malaysia (MIMF) ke-37 sebagai platform utama untuk menembusi pasaran global serta membina rangkaian perniagaan antarabangsa.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, pameran tersebut merupakan peluang keemasan bagi pengusaha tempatan meneroka peluang eksport secara kos efektif di bawah satu bumbung tanpa perlu mengembara ke luar negara.
Menurut beliau, penglibatan aktif PMKS dalam platform seperti ini amat kritikal memandangkan golongan usahawan kecil sering berdepan kesukaran untuk menembusi pasaran global disebabkan kekangan kos yang tinggi.
“Apabila PMKS terlibat dalam reruai pameran, mereka akan ditemui oleh pelbagai pelabur luar yang hadir, sekali gus mewujudkan rangkaian perniagaan. Jika mereka terpaksa pergi ke setiap negara terbabit secara berasingan, ia akan mengambil masa yang lama dan menelan kos yang amat tinggi.
“Jadi apabila dikumpul di bawah satu bumbung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) ini, ia menjadi satu kaedah yang strategik serta berkesan dalam mengembangkan penembusan produk ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Majlis Pelancaran MIMF ke-37 di MITEC hari ini.
Pameran yang berlangsung dari 16 hingga 18 Julai itu menampilkan lebih 600 kumpulan pameran dengan syarikat antarabangsa merangkumi 70 peratus daripada keseluruhan pempamer.
Antara delegasi luar negara yang mengambil bahagian termasuk dari China, Jepun, Korea, Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam, India, Bangladesh dan Jerman.
Pameran tahun ini turut menampilkan segmen khusus seperti my class, my micro, my green, kecerdasan buatan (AI) dan pembuatan pintar, peralatan serta teknologi bateri, serta LED dan papan tanda.
Mengulas lanjut, Ahmad Maslan berkata, peralihan ke arah Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) yang dipacu oleh automasi, robotik, AI dan pengkomputeran awan adalah kritikal bagi memperkukuh daya saing industri Malaysia di peringkat serantau.
“Saya menggesa syarikat-syarikat Malaysia untuk merebut peluang ini dengan melabur dalam inovasi, penyelidikan dan pembangunan (R&D), transformasi digital serta pembangunan bakat,” katanya.
Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan Usahawan Malaysia (DPUM), Datuk Seri Abu Hasan Mohd Nor berkata, penganjuran MIMF kali ini mencatatkan skala yang lebih besar selain menampilkan teknologi yang lebih maju termasuk dalam sektor pemprosesan makanan dan pembungkusan untuk membantu PMKS bergerak ke hadapan.
“Kita buka pasaran ini untuk pasaran luar negara juga, jadi pengusaha tempatan tidak perlu lagi pergi ke luar negara seperti China kerana pelabur luar sendiri yang datang ke sini membawa mesin-mesin teknologi maju untuk dipamerkan.
“Ini adalah pentas terbaik untuk pengusaha tempatan meluaskan portfolio perniagaan mereka dan sasaran kita adalah untuk membantu produk yang diusahakan ini terus berkembang ke peringkat dunia,” katanya. –UTUSAN










