Pajakan Pulau Pinang tidak setimpal nilai semasa

Pajakan Pulau Pinang tidak setimpal nilai semasa

SULTAN Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah serta Bintang-Bintang Kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-84 di Istana Anak Bukit, Alor Setar, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kadar bayaran pajakan Pulau Pinang sebanyak RM10,000 setahun dan sumba­ngan khas RM10 juta setahun kepada kerajaan negeri Kedah yang dilaksanakan sejak 2018 didapati tidak lagi setimpal dengan nilai semasa.

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah, bayaran pajakan yang dite­rima ketika ini masih berasaskan perjanjian lama yang dimeterai sejak sekian lama tanpa penilaian semula mengikut keadaan ekonomi semasa.

“Beta ingin memperingatkan akan hak dan kedaulatan Negeri Kedah seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan hendaklah dihormati oleh semua pihak.

“Bayaran pajakan Pulau Pi­nang yang diterima oleh kerajaan beta adalah berasaskan perjanjian yang telah lama dimeterai. Namun, kadar yang dibayar pada masa ini adalah jauh lebih rendah berbanding nilai yang sewajarnya.

“Beta mahu kerajaan Persekutuan mengkaji semula kadar bayaran pajakan Pulau Pinang agar selari dengan nilai semasa dan semangat asal perjanjian berkenaan demi keadilan kepada negeri Kedah,” titah baginda pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah serta Bintang-Bintang Kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-84 di Istana Anak Bukit, semalam.

Pada 2021, kerajaan negeri menuntut bayaran royalti pajakan Pulau Pinang sebanyak RM100 juta setahun daripada Kerajaan Persekutuan selepas mendapati ia tidak pernah dinilai semula sejak tahun 1786.

Baginda bertitah, hak dan kuasa negeri untuk mengurus dan meneroka sumber mineral strategik seperti Unsur Nadir Bumi (REE) hendaklah dihormati dan dipermudahkan oleh semua pihak kerana Kedah merupakan negeri yang kaya dengan sumber hasil bumi.

Baginda mahu Kerajaan Persekutuan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan tiada halangan pentadbiran yang boleh menjejaskan usaha pembangunan dan penerokaan sumber negeri.

“Amatlah rugi sekiranya perkara ini gagal dilaksanakan, hanya disebabkan perbezaan pandangan dan pemahaman politik, sehingga membelakangkan hak dan keperluan negeri,” titah baginda.

Sultan Sallehuddin turut menegaskan Pulau Langkawi merupakan aset strategik Kedah dan negara yang perlu dibangunkan mengikut acuan dan identiti tersendiri.

Baginda bertitah, pembangunan pulau peranginan itu tidak seharusnya meniru atau diban­dingkan dengan destinasi pelancongan lain seperti Phuket atau Bali kerana kekuatan sebenar Langkawi terletak pada khazanah alam semula jadi dan warisan unik dimilikinya.

“Sebagai destinasi pelancongan utama dan pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri, beta mahu pembangunan Pulau Langkawi dibentuk mengikut acu­an dan identiti tersendiri, tanpa meniru atau memban­dingkan seperti Phuket atau Bali.

“Aset berharga ini wajib dipelihara dan dibangunkan secara lestari. Beta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengambil kesempatan membuat sebarang tindakan atau kenyataan yang boleh mencemarkan imej dan reputasi Pulau Langkawi,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN