KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) perlu diwajibkan mengemukakan laporan kemajuan fizikal dan laporan aliran tunai kewangan terperinci secara berkala bagi projek-projek berimpak tinggi kepada Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Pengangkutan (MOT).
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, langkah itu merupakan antara lapan syor utama yang dikemukakan untuk tindakan segera kerajaan dan agensi berkaitan bagi memastikan tadbir urus serta kedaulatan negara terus terpelihara, di samping mengekalkan agenda akauntabiliti awam pasca penyahsenaraian.
Beliau berkata, laporan kemajuan fizikal dan laporan aliran tunai kewangan terperinci secara berkala bagi projek-projek berimpak tinggi seperti projek Aerotrain, Sistem Pengendalian Operasi, dan pembesaran lapangan terbang bagi memastikan tiada kelewatan atau ketirisan kos.
“Selain itu, MAHB perlu memperkukuh kerjasama strategik yang bersepadu bersama agensi persekutuan utama termasuk MOF, MOT, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Komunikasi bagi menyelaraskan pelan ketersambungan industri penerbangan dan pembangunan hab ekonomi di sekeliling lapangan terbang.
“MOT dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mestilah mewajibkan MAHB untuk melibatkan pemegang taruh industri, terutamanya syarikat penerbangan tempatan, dalam proses perancangan awal jangka panjang pembangunan infrastruktur bagi memastikan kemudahan yang dibina menepati keperluan operasi fizikal sebenar.
“MAHB wajar mewujudkan satu badan perundingan berkala bersama syarikat penerbangan teras (MAG, AirAsia, Batik Air) bagi menangani isu kecekapan operasi di bawah sayap secara berterusan. Pembangunan lapangan terbang tidak boleh lagi bersifat unilateral atau reaktif.
“Bagi mengekalkan kawalan strategik negara, pegangan saham tempatan gabungan di bawah Khazanah dan KWSP mestilah dikekalkan sekurang-kurangnya pada paras 70 peratus. Sebarang perubahan terhadap struktur pemilikan ekuiti atau keputusan penjualan aset strategik MAHB pada masa depan wajib mendapatkan kelulusan daripada Jemaah Menteri secara telus,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Dalam pada itu, Mas Ermieyati berkata, MOT dan CAAM mesti mewajibkan MAHB untuk menerbitkan Laporan Prestasi Operasi dan KPI Perkhidmatan secara berkala kepada umum bagi mengekalkan akauntabiliti awam walaupun status MAHB kini merupakan entiti swasta yang dinyahsenaraikan.
“Laporan-laporan prestasi dan kemajuan projek modal kritikal MAHB tersebut hendaklah dibentangkan secara berkala di Dewan Rakyat serta dikemukakan kepada PAC Parlimen bagi membolehkan pengawasan semak dan imbang parlimen dijalankan secara berterusan.
“MAHB perlu mengetatkan tata cara perolehan dan sistem saringan kontraktor dengan kerjasama SPRM, CAAM, dan MyCC bagi menghapuskan amalan kartel kontraktor yang tidak kompeten, sekali gus memastikan kegagalan kualiti kemudahan asas (kebocoran bumbung, kerosakan tandas, kegagalan jambatan pemuatan penumpang) tidak berulang,” katanya. – UTUSAN










